Kerajaan ‘ketatkan belanja’, tapi rakyat tak terjejas
Kementerian Kewangan Malaysia(MOF) memberi jaminan bahawa langkah pelarasan perbelanjaan kerajaan tidak akan menjejaskan perkhidmatan asas kepada rakyat, meskipun negara berdepan tekanan Krisis Bekalan Global.
Dalam kenyataan hari ini, MOF menjelaskan pelarasan hanya melibatkan perbelanjaan tidak kritikal, manakala sektor teras seperti kesihatan, pendidikan, keselamatan dan perkhidmatan asas kekal diteruskan seperti diluluskan dalam Belanjawan 2026.
Menurut kementerian itu, peruntukan bagi kementerian utama termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia tidak terjejas, memandangkan kedua-duanya merupakan antara penerima bajet terbesar tahun ini.
“Langkah ini memberi tumpuan kepada penjimatan perbelanjaan tidak kritikal seperti penangguhan acara, kawalan perjalanan luar negara, penjimatan utiliti serta penangguhan pengisian jawatan bukan kritikal,” menurut kenyataan itu.
MOF menegaskan pendekatan tersebut penting bagi mewujudkan ruang fiskal untuk membiayai bantuan dan subsidi bersasar, khususnya kepada golongan rentan yang terkesan akibat ketidaktentuan ekonomi global.
Kementerian itu turut memberi jaminan bahawa pengurusan kewangan negara akan terus dilaksanakan secara berhemah bagi memastikan keseimbangan antara keperluan rakyat dan kedudukan fiskal negara.
“Perkhidmatan asas akan terus dibiayai, sokongan kepada ekonomi kekal mencukupi, dan pada masa sama kedudukan kewangan negara dipastikan kukuh,” menurut MOF.
Langkah pelarasan ini dilihat sebagai strategi kerajaan untuk meningkatkan kecekapan perbelanjaan tanpa mengorbankan kebajikan rakyat, ketika ekonomi global dijangka terus berdepan tekanan berpanjangan.