Kerajaan MADANI tak diam, Anwar gerak usaha bebas tahanan flotilla
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berdiam diri susulan penahanan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla oleh Israel di perairan antarabangsa.
Dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata beliau telah berhubung dengan Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai insiden tersebut.
Menurutnya, tindakan Israel menahan para aktivis yang terlibat dalam misi bantuan ke Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabul prinsip undang-undang antarabangsa.
“Rejim Zionis Israel sanggup bertindak bacul dan gila apabila menahan aktivis di perairan antarabangsa semata-mata mahu menghentikan misi kemanusiaan,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan kini sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua yang ditahan dapat dibebaskan segera.
“Kita tidak akan berdiam diri. Usaha sedang digerakkan untuk memastikan mereka dibebaskan dengan segera,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menitipkan kata-kata semangat kepada keluarga para aktivis yang terlibat.
“Kepada keluarga para aktivis, saya titipkan salam penuh kekuatan. Kita berdoa agar mereka dilindungi dan diberikan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Insiden berkenaan berlaku ketika misi Global Sumud Flotilla cuba menyalurkan bantuan kepada rakyat Gaza yang berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan akibat konflik.
Anwar menyifatkan situasi itu sebagai ujian kepada nurani kemanusiaan sejagat, sambil menyeru sokongan berterusan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Palestin.