Krisis di Negeri Sembilan: Biro Politik UMNO dan PH harus bertemu segera – Asyraf Wajdi

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang membabitkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.

“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Katanya, ketetapan itu hasil perbincangan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO yang berlangsung malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias susulan keputusan penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Asyraf Wajdi berkata, tindakan kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri itu kerana sikap Aminuddin “membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.”

Jelasnya, UMNO berpendirian menghormati keputusan mereka terbabit namun dalam masa sama terus kekal menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Menurutnya, parti itu berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.

“UMNO memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan,” kata Asyraf Wajdi lagi.

BACA JUGA Balai Undang ‘ditutup’, adat tak boleh jalan