Sistem CCTV Bersepadu DBKL-PDRM tingkat kecekapan cegah jenayah di Kuala Lumpur

FOTO BERITA: Sidang Media Pelaksanaan Sistem CCTV Bersepadu antara DBKL dan PDRM dihadiri oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Ketua Polis Kuala Lumpur Dato’ Fadil Hj Marsus di Menara DBKL Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. 30hb April 2026 (Khamis)

Pelaksanaan sistem CCTV bersepadu antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menunjukkan keberkesanan dalam meningkatkan tahap keselamatan serta keupayaan pencegahan jenayah di ibu negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, sistem pintar itu menekankan koordinasi lebih kukuh antara agensi melalui perkongsian maklumat dan sumber secara masa nyata.

“Perkara utama yang ingin kita sampaikan ialah kini terdapat koordinasi lebih baik antara DBKL dan polis dalam berkongsi maklumat bagi menyelesaikan jenayah serta memastikan Kuala Lumpur selamat untuk semua, termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya. Menurut beliau, sistem tersebut sentiasa ditambah baik berdasarkan maklum balas daripada pihak PDRM bagi memastikan keberkesanannya dalam mencegah jenayah dan mengubah tingkah laku masyarakat.

Beliau turut memberikan contoh penggunaan sistem di kawasan tumpuan pelancong berhampiran KLCC, di mana kamera CCTV digunakan untuk menyiarkan pengumuman secara berkala bagi mengekang aktiviti ulat foto. “Melalui teknologi ini, pengumuman boleh disiarkan setiap 10 minit atau setiap kali orang ramai berkumpul, dalam pelbagai bahasa, tanpa memerlukan kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi,” jelasnya. Tambah beliau, pendekatan tersebut terbukti berkesan selain membolehkan pemantauan dilakukan secara berterusan dari pusat kawalan.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud memaklumkan bahawa penggunaan CCTV telah membantu PDRM menyelesaikan sekurang-kurangnya 50 peratus kes jenayah yang dilaporkan di Kuala Lumpur. Menurut Fadlun, sistem bersepadu ini dilengkapi pelbagai teknologi pintar yang mampu memperkukuh keupayaan penguatkuasaan dan tindak balas keselamatan secara masa nyata.

“Antara keupayaan utama sistem ini termasuk penggunaan geo-fencing untuk pemantauan berterusan di kawasan berisiko tinggi dan lokasi sensitif,” katanya. Beliau berkata, sistem itu turut dilengkapi teknologi pengecaman wajah bagi membantu operasi PDRM selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Selain itu, analitik tingkah laku digunakan untuk mengesan pergerakan mencurigakan atau aktiviti luar biasa sebelum mencetuskan amaran automatik kepada Pusat Kawalan dan Operasi Kuala Lumpur (KL Command and Control Centre). “Turut diperkenalkan ialah Sistem Siar Raya Bersepadu yang membolehkan amaran disampaikan secara terus di lokasi kejadian sebelum pasukan penguat kuasa tiba,” jelasnya.

Menurut beliau, data PDRM menunjukkan penggunaan CCTV mampu meningkatkan keupayaan pengesanan suspek dan siasatan sehingga 50 peratus, sekali gus membantu mempercepatkan penyelesaian kes jenayah. Dengan pelaksanaan sistem ini, tambahnya, penyelarasan antara DBKL dan PDRM akan menjadi lebih mantap dalam memastikan keselamatan warga kota terus terjamin.
