Tak larat jalan? TH sedia bas 24 jam ke Masjidil Haram
Lembaga Tabung Haji menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik 24 jam secara percuma bagi memudahkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Masjidil Haram.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata sebanyak lapan bas disediakan sebagai inisiatif baharu bagi meningkatkan keselesaan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.
Menurutnya, perkhidmatan itu merupakan nilai tambah yang diperkenalkan tahun ini, melibatkan laluan dari Hotel Abraj Al Tayseer ke kawasan berhampiran Masjidil Haram.
“Ini kali pertama kita menyediakan perkhidmatan bas dari Al Tayseer ke Masjidil Haram yang mengambil masa kira-kira 10 minit sahaja, diikuti berjalan kaki sekitar 300 meter,” katanya memetik laporan Berita RTM.
Beliau berkata perkhidmatan ulang-alik itu beroperasi antara Hotel Abraj Al Tayseer dan Stesen Bas Jarwal yang terletak berhampiran dataran masjid, sekali gus memberi alternatif lebih mudah kepada jemaah untuk ke masjid pada bila-bila masa.
Menurut Mohd Hisham, kemudahan tersebut dijangka membantu jemaah mengekalkan tahap kesihatan, khususnya menjelang kemuncak ibadah haji iaitu Hari Wukuf, ketika cuaca di Mekah semakin panas.
Bagi musim haji 1447H/2026M, Tabung Haji menyediakan lima bangunan penginapan di Mekah untuk menempatkan kira-kira 31,600 jemaah, termasuk di Abraj Al Tayseer, Rehab Al Janadriyah, Al Kiswah Tower Hotel, Abraj Al Janadriyah dan Qasr Al Janadriyah.
Inisiatif itu dilihat sebagai sebahagian usaha berterusan Tabung Haji dalam menambah baik penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan jemaah haji Malaysia.