Zahid  kata dah betulkan persepsi, 14 Adun sokong kerajaan perpaduan

Seramai 14 Adun Umno di Negeri Sembilan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri, kata Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pendirian itu dicapai selepas perbincangan diadakan bersama kesemua Adun terbabit hari ini bagi menilai semula situasi sebenar susulan polemik yang timbul.

Menurut Zahid, terdapat tafsiran berbeza terhadap tindakan mereka sebelum ini, termasuk dakwaan bahawa penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bertujuan menjatuhkan kerajaan negeri.

Sebaliknya, beliau menegaskan langkah tersebut bukan untuk ‘menebuk atap’ atau membentuk kerajaan melalui pintu belakang.

“Apabila ada persepsi dan pentafsiran yang berbeza daripada niat asal, saya telah mengadakan perbincangan dengan semua 14 Adun tersebut untuk melihat semula keadaan.

“Kita tidak berhajat untuk ‘retract’, sebaliknya mahu membetulkan persepsi iaitu ia satu langkah yang berniat baik agar institusi raja dan institusi adat di Negeri Sembilan dapat dihormati,” katanya memetik laporan FMT.

Zahid berkata demikian selepas merasmikan Forum Memperkasa Akses Dipercayai Merentasi Ekosistem Digital Malaysia serta menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) MyDigital ID.

Isu melibatkan sokongan Adun Umno itu sebelum ini mencetuskan spekulasi mengenai kedudukan kerajaan negeri, namun kenyataan terbaharu ini dilihat meredakan kebimbangan tersebut.