Kerajaan umum PACE RM710 juta, bakal manfaatkan belia, pekerja gig dan pemain PMKS

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan Pakej Daya Tahan Ekonomi yang dinamakan Pemecutan Progresif bagi Keupayaan dan Pekerjaan atau Progressive Acceleration for Capability and Employment (PACE).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata program PACE bernilai lebih RM710 juta, akan dilaksanakan melalui empat inisiatif utama, yang membantu pekerja untuk terus berdaya saing.

Menurutnya, PACE merupakan sebahagian daripada strategi daya tahan ekonomi, membawa implikasi yang sangat positif terhadap pembangunan modal insan dan kestabilan pasaran buruh.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2026 di Bukit Jalil hari ini dengan tema “Pekerja MADANI Kesuma Negara”.

Anwar berkata, pasaran buruh pada masa ini kekal kukuh dengan tahap pengangguran terkini pada 2.9 peratus iaitu paras terendah dalam lebih 10 tahun.

Namun begitu, tegasnya, semua pihak tidak boleh leka sebaliknya perlu proaktif dan bersiapsiaga terutamanya dalam era teknologi cepat berubah.

“Kita perlu dapat membantu pekerja terus berdaya saing dan bagi yang bakal kehilangan pekerjaan untuk dilatih dengan kemahiran baharu seiring dengan permintaan dan keperluan industri terkini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, inisiatif pertama PACE melibatkan kesiapsiagaan perlindungan sosial.

“Kita memperkukuh jaringan keselamatan melalui faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) khusus bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan dan meningkatkan kebolehgajian mereka.

“Untuk itu, KESUMA melalui PERKESO telah mempersiapkan dana SIP melebihi RM580 juta,” jelasnya.

Pemerkasaan latihan

Menteri Kewangan itu berkata, inisitif kedua PACE melibatkan pemerkasaan latihan dan penempatan kerja.

Menurutnya, golongan belia dan kumpulan rentan perlu dipastikan sentiasa kompetitif dan produktif.

Bagi tujuan tersebut, katanya, Kerajaan melalui HRD Corp memperuntukkan RM100 juta di bawah program HRD Yakin MADANI yang turut disokong oleh MyFutureJobs bagi memudahcara penempatan pekerjaan.

Sementara itu, inisiatif ketiga PACE menumpukan usaha dalam pengupayaan pekerja gig dengan mempelbagai kemahiran dan memperkukuh perlindungan keselamatan sosial pekerja segmen terbabit.

Oleh itu, jelas Perdana Menteri, kerajaan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK) khusus untuk latihan kemahiran pekerja gig terutamanya pekerja e-hailing dan p-hailing.

Seterusnya, kata Anwar, inisiatif keempat PACE berkaitan pemantapan bakat muda dan ketahanan PMKS.

“Kita akan menyediakan Geran Padanan Latihan Industri bagi menyokong Perusahaan Mikro, Kecil, dan Sederhana (PMKS) serta Syarikat Pemula yang mengambil pelatih industri.

“Inisiatif ini akan dibiayai oleh TalentCorp dengan peruntukan sebanyak RM10 juta,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Elaun Pasca Cuti Bersalin antara tiga berita gembira diumum PM sempena Hari Pekerja