Lega! Akhirnya 10 aktivis Malaysia GSF 2.0 dijadual terbang ke Istanbul
Seramai 10 aktivis Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 telah dibebaskan selepas diculik rejim penjajah Zionis di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Menurut Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, kesemua mereka dilepaskan di Pelabuhan Lerapetra di kepulauan tersebut.
Beliau memaklumkan, sejumlah 175 aktivis kemanusiaan yang sebelum ini ditahan turut dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion.
Dalam sidang media yang disiarkan menerusi Facebook Sumud Nusantara Official malam ini, Sany memberitahu mereka terbabit menaiki bas disediakan pihak berkuasa Greece.
Katanya, kerajaan Turkiye menyediakan pesawat berkapasiti 160 penumpang untuk membawa pulang 20 aktivis warganegara Turkiye.
“Turkiye turut menawarkan tempat kepada mana-mana aktivis GSF untuk turut serta dalam penerbangan berkenaan,” kata Sani Araby.
Jelasnya, 10 aktivis Malaysia terbabit dijadual berlepas ke Istanbul dari Lapangan Terbang Heraklion, malam ini.
“Pelepasan penerbangan tersebut dari Lapangan Terbang Heraklion dijangkakan pada jam 10.15 malam waktu Malaysia dan akan tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada jam 11.45 malam waktu Malaysia.
“SNCC mengesahkan 10 aktivis Malaysia akan terbang ke Istanbul,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya sudah berhubung dengan Kementerian Luar bagi menyelaras pergerakan aktivis Malaysia dari Greece ke Istanbul.
“Tiga wakil SNCC kini berada di Istanbul bagi menguruskan serta menilai keadaan semasa. Keputusan sama ada aktivis Malaysia akan meneruskan misi atau pulang ke tanah air bergantung kepada tahap kesihatan serta situasi semasa,” jelasnya.
BACA JUGA AMANAH gesa kerajaan kaji semula Festival Muzik Air Rain Rave