MOF diminta pertimbang semula potong bajet kesihatan

OLEH ZAHID AMRAN

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen, menggesa Kementerian Kewangan (MOF) supaya mempertimbangkan semula cadangan pemotongan sehingga RM3.06 bilion daripada bajet Kementerian Kesihatan. 

Menurut beliau, walaupun langkah penjimatan fiskal penting dalam menghadapi krisis bekalan global, pendekatan ini berisiko membawa kesan besar kepada sistem kesihatan awam yang sedia tertekan. 

“Saya memahami keperluan perbelanjaan berhemah, namun usaha memotong sehingga RM3.06 bilion daripada bajet kesihatan yang sudah terbeban boleh membawa kesan tidak dijangka, bukan sahaja kepada operasi fasiliti kesihatan tetapi yang lebih penting kepada penjagaan pesakit,” katanya.

Dr Kelvin menegaskan bahawa sistem kesihatan awam Malaysia merupakan benteng utama rakyat, dengan lebih 70 peratus rakyat bergantung kepadanya untuk rawatan. 

Namun, sistem ini kini berdepan kekurangan tenaga kerja, kemudahan yang uzur, serta tekanan operasi yang kronik. 

Beliau menyifatkan cadangan pemotongan tersebut sebagai tidak sensitif terhadap realiti di lapangan. 

“Untuk menjimatkan sehingga RM3.06 bilion daripada Kementerian Kesihatan, iaitu hampir satu pertiga daripada keseluruhan penjimatan semua kementerian, menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap keadaan sebenar operasi kesihatan negara,” ujarnya.

Kesan pemotongan ini, menurut beliau, bukan sekadar angka di atas kertas, tetapi akan dirasai terus oleh rakyat. Ia boleh membawa kepada penangguhan pembedahan, masa menunggu lebih lama, kekurangan ubat, kemudahan hospital yang semakin merosot, serta keletihan melampau dalam kalangan petugas kesihatan. 

Lebih membimbangkan, keadaan ini boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang sepatutnya boleh dicegah, malah kematian yang tidak sepatutnya berlaku. Golongan paling terkesan ialah keluarga berpendapatan rendah, warga emas, pesakit kronik, kanak-kanak, serta komuniti luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menyorot krisis kekurangan doktor yang semakin meruncing, dengan Sabah dan Sarawak sahaja memerlukan sehingga 6,000 doktor tambahan. Justeru, Dr Kelvin menegaskan bahawa perbelanjaan kesihatan tidak boleh dilihat sebagai kos untuk dikurangkan, sebaliknya pelaburan asas negara. 

“Perbelanjaan kesihatan melindungi nyawa, mengekalkan produktiviti, menyokong kestabilan ekonomi dan membina kepercayaan sosial,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menggesa MOF menilai semula pelarasan bajet tersebut serta memastikan sebarang penjimatan dibuat secara telus tanpa menjejaskan perkhidmatan asas, demi menjaga keyakinan rakyat dan moral petugas kesihatan.