Penjawat awam diminta ‘buat betul-betul’ Malaysia MADANI

Penjawat awam digesa menterjemahkan konsep Malaysia MADANI kepada tindakan berimpak, bukan sekadar memahami dasar di atas kertas.

Seruan itu dibuat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz semasa merasmikan Seminar Kefahaman Malaysia MADANI di Kluang, Johor .

Program anjuran Institut Tadbiran Awam Negara dengan kerjasama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia, Akademi Kenegaraan Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia itu menghimpunkan pelbagai tokoh pentadbiran dan pemikir dasar.

Menurut Wan Ahmad Dahlan, seminar berkenaan menjadi platform penting untuk membina kefahaman strategik terhadap konsep Malaysia MADANI serta mengangkatnya sebagai budaya kerja dalam kalangan penjawat awam.

“Penjawat awam perlu beralih daripada pendekatan pematuhan semata-mata kepada pendekatan berasaskan impak bagi memastikan dasar benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Seminar itu turut menampilkan sesi dialog bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan serta barisan panel daripada pelbagai institusi.

Penganjur memaklumkan bahawa program tersebut memberi penekanan kepada pengukuhan kefahaman terhadap dasar sedia ada, berteraskan enam nilai utama Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Pendekatan itu dilihat sebagai landasan untuk memastikan setiap dasar dilaksanakan secara lebih tersusun, berhemah dan memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi cabaran global semasa.

Selain itu, kerjasama empat institusi dalam penganjuran seminar berkenaan mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan dalam memperkukuh kefahaman serta penghayatan Malaysia MADANI dalam sistem pentadbiran negara.

Seminar tersebut berlangsung di Dewan Jemerlang, INTAN Kampus Wilayah Selatan (IKWAS), Kluang, dan disertai penjawat awam serta pemimpin masyarakat dari pelbagai sektor.