Kes gadis maut dengan 61 kesan tikaman: 2 warga emas direman 3 hari, 2 remaja pula seminggu

Dua warga emas, masing-masing seorang wanita berusia 60 tahun dan seorang lelaki berusia 66 tahun, yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang penuntut kolej wanita dengan 61 kesan tikaman di Kampung Simah, Ketereh, telah direman selama tiga hari.

Dua lagi suspek iaitu remaja lelaki berusia 19 tahun direman selama tujuh hari.

Perintah tahanan reman oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid terhadap kesemua suspek terbabit bermula hari ini.

Kes menggemparkan itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Polis Kelantan memberitahu kesemua suspek ditahan antara 4 petang semalam sehingga awal pagi hari ini.

Mereka ditahan menerusi serbuan di dua lokasi berasingan di Taman Murni, di sini, dan Kampung Belukar Luas, Ketereh.

BACA JUGA Tragedi pelajar KPTM Kota Bharu: KPTMSB mohon henti spekulasi, hulur bantuan kepada keluarga