UMNO perlu bangkit dengan pembaharuan, fokus generasi muda – Mohamad Hasan

FOTO BERITA: Ucapan Pembukaan Majlis Konvensyen 80 Tahun UMNO oleh Timbalan Presiden UMNO, YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan di WTC Kuala Kumpur. 2 Mei 2026

Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan menegaskan keperluan parti itu melakukan pembaharuan menyeluruh serta memperkukuh kesatuan dalaman bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya dalam kalangan generasi muda. Menurutnya, peningkatan penyertaan golongan muda sebagai ahli baharu UMNO merupakan petanda positif terhadap masa depan parti, sekali gus membuktikan UMNO masih relevan sebagai wadah perjuangan bangsa Melayu.

“Anak muda kini berduyun-duyun menyertai UMNO, ini satu perkembangan baik. Kita perlu memudahkan akses keahlian termasuk melalui platform digital agar lebih ramai dapat bersama dalam perjuangan ini,” katanya. Dalam masa sama, beliau mengakui realiti bahawa sokongan orang Melayu terhadap UMNO tidak lagi sekuat dahulu dan parti itu perlu bekerja keras untuk memulihkan kepercayaan tersebut.

“UMNO mesti mengembalikan keyakinan bangsa dengan prestasi, kejujuran dan pembaharuan yang nyata. Kita tidak boleh terus bernostalgia, sebaliknya perlu menawarkan gagasan masa depan yang jelas,” ujarnya. Mohamad turut menekankan kepentingan UMNO menyesuaikan diri dengan cabaran dunia moden termasuk globalisasi dan revolusi digital yang memberi kesan besar kepada landskap politik serta ekonomi. Beliau berkata, parti itu perlu melahirkan generasi pemimpin baharu yang lebih inovatif, berkaliber dan mampu mengurus negara yang semakin kompleks dan kosmopolitan.

“Generasi hari ini adalah peribumi digital. Jika kita gagal mendekati mereka, kita akan kehilangan sokongan masa depan,” katanya. Selain itu, beliau mengingatkan bahawa UMNO tidak boleh terpisah daripada realiti Malaysia sebagai negara majmuk dan perlu terus memainkan peranan sebagai parti yang menjunjung perpaduan antara kaum. Dalam ucapannya, beliau turut menggariskan beberapa keutamaan termasuk memperkukuh kesatuan parti, menjadikan Islam sebagai inspirasi perjuangan serta mengamalkan politik matang tanpa terjebak dalam budaya cacian.

“Kesatuan adalah kekuatan utama UMNO. Tanpanya, kita akan mudah diperalat dan kehilangan pengaruh,” tegas beliau. Mengulas mengenai strategi pilihan raya akan datang, Mohamad menjelaskan bahawa pendekatan UMNO perlu lebih fleksibel dan berpandukan realiti semasa, termasuk penggunaan data serta pemilihan calon yang berintegriti dan dekat dengan rakyat.

“Pilihan raya hari ini bukan sekadar ceramah atau perang poster, tetapi perang data. Kita mesti bersedia dengan strategi moden,” katanya. Beliau turut mengingatkan bahawa kemenangan hanya boleh dicapai melalui disiplin, kesatuan dan strategi yang tersusun.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki menyeru seluruh ahli dan penyokong parti untuk kembali memperkukuh kesatuan serta menghidupkan semula semangat perjuangan “rumah bangsa” sempena ulang tahun ke-80 parti itu. Beliau menegaskan bahawa usia lapan dekad UMNO bukan sekadar lambang ketahanan, tetapi turut menyimpan khazanah pengorbanan besar dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara.

“Segala yang dinikmati hari ini adalah hasil perjuangan panjang UMNO selama 80 tahun. Parti ini telah melalui pelbagai ujian, termasuk kehilangan kuasa, namun tetap bangkit dengan harapan dan impian untuk membina semula rumah bangsa,” katanya. Asyraf Wajdi turut mengajak mereka yang pernah meninggalkan parti agar kembali bersama, dengan pintu UMNO sentiasa terbuka luas di bawah kepimpinan Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.

“Kembalilah wahai bangsaku. Rumah ini terbuka dengan tangan dan hati yang ikhlas untuk semua yang ingin bersama memperjuangkan nasib bangsa,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada generasi terdahulu yang telah berkorban demi kelangsungan parti serta negara, sambil mendoakan kesejahteraan mereka yang telah pergi.

Mengulas sambutan konvensyen kali ini, beliau berkata penganjuran selama lima hari itu tidak hanya bersifat simbolik, sebaliknya menampilkan pelbagai program yang mendekatkan parti dengan rakyat. Menurutnya, kehadiran hampir 36,000 pengunjung pada hari pertama serta peningkatan ketara keahlian baharu, khususnya dalam kalangan anak muda, membuktikan UMNO masih mendapat tempat di hati masyarakat.

“Sehingga kini, hampir 14,000 ahli baharu direkodkan, dengan majoritinya terdiri daripada golongan muda. Ini menunjukkan pendekatan mempermudah pendaftaran secara dalam talian adalah satu ‘game changer’ kepada parti,” katanya. Beliau menambah, langkah tersebut membolehkan keahlian UMNO diakses dengan lebih mudah dan inklusif, selari dengan perubahan zaman serta kehendak generasi baharu.

Selain itu, Asyraf Wajdi menegaskan bahawa sambutan ulang tahun ke-80 ini bukan sekadar acara nostalgia, tetapi platform untuk merangka hala tuju masa depan parti. “Kita bukan hanya mengimbau sejarah, tetapi mahu menggariskan masa depan UMNO sebagai parti yang terus relevan dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya. Mengakhiri ucapan, beliau mengingatkan bahawa perjuangan UMNO bukanlah mudah dan penuh cabaran, namun dengan kejelasan matlamat serta kesatuan, parti itu diyakini mampu terus bangkit dan kekal sebagai wadah utama politik Melayu.