Hasrat Jalal nak jadi pembangkang, Asyraf tunggu penjelasan lanjut?

Isu kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan dijangka menjadi antara topik utama dalam mesyuarat Biro Politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) minggu depan.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu akan dibincangkan secara menyeluruh, termasuk mengambil kira aspek institusi dan bukan sekadar individu.

“Ini bukan soal mana-mana individu semata-mata, tetapi melibatkan institusi termasuk kedaulatan raja dan adat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Sambutan 60 Tahun MARA di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Asyraf, cadangan untuk membawa isu kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ke meja rundingan sebelum ini disuarakan Presiden Umno,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, sebarang isu berbangkit perlu diselesaikan secara bersama melalui rundingan rasmi antara kedua-dua gabungan.

Dalam perkembangan sama, Asyraf berkata pihaknya masih belum menerima penjelasan lanjut berhubung kenyataan Pengerusi Umno Negeri Sembilan, datuk Seri Jalaluddin Alias yang dilaporkan bersedia untuk menjadi pembangkang jika perlu.

“Saya belum dapat penjelasan lagi daripada pihak Umno Negeri Sembilan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pendirian Biro Politik Umno kekal jelas untuk meneruskan rundingan dengan PH dalam masa terdekat, khususnya melibatkan isu dasar dan kerjasama antara kedua-dua parti.

Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan kestabilan politik dan penyelarasan dasar terus terpelihara di peringkat kerajaan.