Jangan tunggu mangsa seterusnya, henti segera keganasan terhadap wanita
Tiada kompromi terhadap keganasan wanita, tegas Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim susulan pembunuhan seorang wanita berusia 19 tahun di Ketereh baru-baru ini.
Dalam kenyataan media, beliau mengecam sekeras-kerasnya kejadian tersebut yang disifatkan melampaui batas kemanusiaan, selepas mangsa ditemui tidak bernyawa dengan puluhan kesan tikaman.
Menurutnya, insiden itu bukan sekadar kes jenayah terpencil, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistem dan masyarakat dalam melindungi wanita.
“Ini bukan sekadar satu kes jenayah. Ini cerminan kegagalan kita sebagai masyarakat dan sistem dalam melindungi wanita,” katanya.
Hafidzah turut memetik statistik kebangsaan yang menunjukkan peningkatan kes keganasan rumah tangga, dengan 7,116 kes direkodkan pada 2024 dan 5,041 kes sehingga Ogos 2025, di mana 73 peratus mangsa adalah wanita.
Di Kelantan sahaja, katanya, sebanyak 234 kes direkodkan setakat pertengahan tahun ini.
Beliau menegaskan angka tersebut merupakan isyarat jelas bahawa keselamatan wanita semakin terancam dan memerlukan tindakan segera.
Sehubungan itu, Hafidzah mengemukakan beberapa tuntutan termasuk tindakan tegas oleh Polis Diraja Malaysia dan sistem kehakiman bagi mempercepat siasatan serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan negeri menyediakan pelan komprehensif melibatkan strategi pencegahan, pemantauan data serta program intervensi komuniti.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan sokongan menyeluruh kepada mangsa dan keluarga termasuk bantuan kaunseling trauma, sokongan psikososial dan perlindungan kebajikan.
Hafidzah juga menyeru perubahan budaya masyarakat melalui pendidikan kesedaran, termasuk mendidik golongan lelaki mengenai tanggungjawab dan menghentikan normalisasi keganasan.
Menurutnya, keganasan berterusan terhadap wanita menunjukkan masih wujud kelemahan dalam mewujudkan persekitaran selamat.
“Jika kita benar-benar serius menjaga maruah masyarakat, keselamatan wanita mesti menjadi agenda utama, bukan sekadar retorik,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang, sambil mengingatkan bahawa masyarakat tidak boleh terus menunggu sehingga lebih ramai wanita menjadi mangsa.
BACA JUGA Tragedi 61 tikaman: Polis Kelantan berjaya tangkap suspek kurang 24 jam