Pendapatan Bumiputera naik, dasar MADANI dah ‘berbuah’

Pendapatan isi rumah Bumiputera mencatat peningkatan lebih 10 peratus dalam tempoh dua tahun, selari dengan pelaksanaan dasar pemerkasaan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata purata pendapatan meningkat daripada sekitar RM6,300 pada 2022 kepada RM7,000 pada 2024.

Menurutnya, peningkatan itu dicapai seiring usaha menyeluruh kerajaan termasuk pembasmian kemiskinan tegar dan peningkatan peruntukan pembangunan negeri.

“Kita tidak berganjak daripada prinsip keadilan, khususnya dalam membela golongan terpinggir,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Majlis Amanah Rakyat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman.

Anwar berkata kerajaan turut memperluas penglibatan Bumiputera dalam sektor bernilai tinggi melalui kerjasama dengan Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Selain itu, pelan jangka panjang seperti Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) turut digerakkan bagi memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekonomi masa depan.

Dalam perkembangan berkaitan, kadar pengangguran negara turut mencatat penurunan ke paras terendah dalam tempoh sedekad.

Langkah tersebut dilihat sebagai petunjuk awal bahawa dasar ekonomi MADANI mula menunjukkan hasil, meskipun kerajaan mengakui jurang pendapatan masih perlu diberi perhatian.

BACA JUGA Undang ‘lawan’ Yamtuan? Peguam dakwa ada naratif kelirukan rakyat