Rumah terbakar di Sandakan. mangsa dapat penginapan percuma 28 hari

Kerajaan menyediakan penginapan sementara percuma selama 28 hari kepada 50 keluarga mangsa kebakaran di Sandakan sebagai sebahagian usaha memperkukuh kebajikan rakyat di Sabah.

Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata bantuan itu disalurkan susulan penutupan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Airbnb.

Menurutnya, langkah itu antara intervensi segera bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia dan Kampung Karamunting.

“KPKT komited memastikan kebajikan mangsa terus terbela,” katanya selepas melawat PPS Sibuga serta meninjau kawasan terjejas di Sandakan.

Dalam masa sama, beliau berkata KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara akan meneruskan Program Penyenggaraan Perumahan (PPP) bagi penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) di Sabah.

Peruntukan bagi program itu ditingkatkan daripada RM4.8 juta tahun lalu kepada RM5.7 juta pada tahun ini.

Aiman Athirah berkata pendekatan holistik turut digerakkan melalui agensi di bawah kementerian seperti SWCorp Malaysia dan PR1MA, meliputi aspek kebersihan, kesejahteraan komuniti serta sokongan sosial.

SWCorp, katanya, turut melaksanakan program “Trash to Cash” bagi mendidik komuniti mengurus sisa secara mampan, selain aktiviti pendidikan melibatkan kira-kira 150 kanak-kanak mangsa kebakaran.

Beliau turut menegaskan KPKT akan memperkukuh kerjasama strategik dengan kerajaan negeri Sabah bagi memastikan pelaksanaan inisiatif perumahan dapat dipertingkatkan secara bersepadu.

Langkah itu, katanya, mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara, khususnya di peringkat akar umbi.

BACA JUGA ‘Bang Mat’ ajak anak muda terjun dunia Agro dengan teknologi