Stroke haba dua maut – KKM dedah risiko bukan sekadar cuaca
Sebanyak 56 kes penyakit berkaitan cuaca panas direkodkan di seluruh negara setakat ini, termasuk dua kematian akibat strok haba, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan dua kematian itu melibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang tertinggal dalam kenderaan dan seorang lelaki berusia 42 tahun yang menyertai acara maraton di Pulau Pinang.
Menurut kementerian, kedua-dua kes berlaku ketika cuaca berada pada Tahap Amaran 1, namun faktor utama dikenal pasti adalah pendedahan kepada haba melampau dalam persekitaran tertutup serta aktiviti fizikal berpanjangan.
“Keadaan ini menyebabkan dehidrasi teruk serta kegagalan kawal atur suhu badan,” menurut kenyataan itu.
Daripada keseluruhan kes, 47 melibatkan kelesuan haba, manakala selebihnya termasuk strok haba exertional, strok haba biasa dan kekejangan haba.
KKM berkata analisis mendapati 58 peratus kes berkait dengan aktiviti fizikal dalam cuaca panas, dengan hampir separuh daripadanya melibatkan aktiviti sukan seperti merentas desa, latihan sukan dan maraton.
Sebahagian lagi melibatkan latihan fizikal intensif oleh pasukan keselamatan dan operasi.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengehadkan aktiviti fizikal lasak serta mengurangkan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas.
Individu yang perlu bekerja di luar disaran mengambil rehat di tempat teduh serta memastikan tubuh kekal sejuk.
Selain itu, orang ramai digalakkan minum air secukupnya walaupun tidak berasa dahaga serta menggunakan pelindung diri seperti topi, payung dan pakaian ringan berwarna cerah.
KKM turut mengingatkan supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti pening, mual, kekejangan otot atau keletihan melampau.
Kementerian itu juga menggesa agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pusat jagaan supaya merancang aktiviti luar dengan lebih berhati-hati bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan haba.
Langkah itu penting bagi memastikan keselamatan orang ramai terus terjamin dalam keadaan cuaca panas yang semakin mencabar.