Zahid : Tak pernah timbul nak jadi pembangkang

Umno menegaskan tidak timbul sebarang isu untuk menjadi pembangkang di Negeri Sembilan, sekali gus menamatkan spekulasi berhubung pendirian parti itu dalam kemelut politik negeri berkenaan.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan jelas telah dibuat bahawa kesemua 14 Adun Barisan Nasional (BN) kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri.

“Tidak timbul soal mahu menarik diri untuk menjadi pembangkang. Itu tidak pernah menjadi isu,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual sempena sambutan ulang tahun ke-80 Umno.

Menurut Zahid, sebarang perbezaan pandangan yang timbul sebelum ini lebih kepada isu pelantikan Menteri Besar dan perlu dilihat dalam konteks lebih luas, bukan sebagai usaha menjatuhkan kerajaan.

Dalam masa sama, Zahid menafikan dakwaan yang mengaitkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai dalang kepada kemelut tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata Mohamad atau “Tok Mat” memainkan peranan penting dalam meredakan keadaan melalui rundingan bersama kepimpinan parti.

“Tok Mat yang cuba cari jalan menyelesaikannya. Tidak adil jika ada tuduhan sedemikian terhadap beliau,” katanya.

Zahid berkata perbincangan antara mereka dilakukan secara berterusan bagi mencari jalan keluar terbaik terhadap situasi yang disifatkannya sebagai “benang kusut” yang perlu dileraikan secara berhati-hati.

Beliau turut menegaskan bahawa penentuan jawatan Menteri Besar bukan keputusan Umno semata-mata, sebaliknya bergantung kepada konsensus dalam kerajaan perpaduan termasuk Pakatan Harapan.

Sebelum ini, 14 Adun BN menarik sokongan terhadap kerajaan negeri yang diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun, namun kemudiannya bersetuju untuk terus menyokong pentadbiran sedia ada.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memaklumkan Aminuddin akan terus menjalankan tugas sebagai Menteri Besar selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Langkah itu dilihat sebagai usaha mengekalkan kestabilan politik negeri di tengah spekulasi yang timbul sebelum ini.