Nurul Izzah mahu ‘Teras’ gabung teknologi, kerja lapangan PRU16
PKR menyasarkan pembangunan sistem kempen bersepadu yang bukan sahaja bergantung kepada kecerdasan buatan (AI), tetapi turut memperkukuh gerak kerja lapangan dan khidmat kepada rakyat.
Timbalan Presiden, Nurul Izzah Anwar berkata sistem dikenali sebagai ‘Teras’ dibangunkan bagi menyokong keseluruhan operasi parti menjelang pilihan raya.
Menurutnya, sasaran menjelang akhir 2026 adalah memastikan parti memiliki sistem yang mampu menggabungkan teknologi dengan pendekatan turun padang.
“Teknologi secanggih mana pun tetap memerlukan gerak kerja di lapangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Petaling Jaya.
Nurul Izzah berkata sistem ‘Teras’ turut direka untuk memudahkan operasi pada hari pilihan raya, termasuk pengurusan data pengundi dan penyelarasan komunikasi seperti panggilan kepada pengundi.
Katanya, sistem itu juga bertujuan memperkemas kerja jentera parti agar lebih tersusun dan responsif.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keberkesanan teknologi perlu disokong dengan prestasi wakil rakyat dan agensi di lapangan.
Menurutnya, hubungan dengan rakyat serta penyampaian perkhidmatan yang baik kekal menjadi faktor utama dalam membina sokongan.
Beliau turut mengalu-alukan penyertaan sukarelawan untuk bersama memperkukuh gerak kerja parti, selain menggalakkan budaya saling menyokong dan berlumba melakukan kebaikan.
Langkah itu dilihat sebagai usaha PKR memperkukuh kesiapsiagaan menjelang PRU16 dengan gabungan teknologi dan kekuatan akar umbi.
BACA JUGA PH Kedah tenang isu BN solo – Perpaduan tak goyang