Adun Bersatu pula umum tak sokong ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan?
Seorang Adun Bersatu di Negeri Sembilan menyatakan pendirian tidak menyokong sebarang usaha menukar kerajaan negeri itu.
Pertukaran kerajaan secara tidak demokratik ini lazimnya dikenali sebagai ‘tebuk atap’.
Pendirian Adun Gemas, Ridzuan Ahmad dilontarkan ketika kemelut politik terus berlarutan.
Katanya, tindakan menukar kepimpinan pada masa ini berisiko menjejaskan kestabilan politik serta pemulihan ekonomi negeri.
“Sekarang bukan masa sesuai untuk perubahan kerajaan. Keutamaan adalah kestabilan dan kebajikan rakyat,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia.
Ridzuan berkata beliau mengambil pendirian berkecuali dalam situasi semasa, sambil menegaskan fokusnya adalah terhadap isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi.
Menurutnya, kestabilan politik perlu dipertahankan bagi memastikan proses pemulihan ekonomi tidak terganggu dalam keadaan semasa yang mencabar.
Dalam masa sama, beliau menegaskan akan terus menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat di pihak pembangkang dengan memberi tumpuan kepada fungsi semak dan imbang terhadap dasar kerajaan negeri.
Kenyataan itu hadir susulan tindakan 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Perkembangan itu sebelum ini dikaitkan dengan krisis melibatkan institusi Undang di negeri berkenaan, seperti didedahkan oleh Pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Jalaluddin Alias.
Susulan kemelut itu, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan yang mempunyai lima Adun dilaporkan menawarkan kerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 19 kerusi diperlukan untuk membentuk majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri.