Muda dan berkredibiliti, Undang Luak Sungai Ujong ke-11 ini bukan calang-calang
Akauntan Muhammad Faris Johari berusia 29 tahun dilantik sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungai Ujong ke-11.
Pelantikan mengikut istiadat kerapatan di Telaga Undang dipilih secara bulat muafakat oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan Waris-waris Klana Hulu.
Waris Nan Tua Klana Hulu, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman Dato’ Lela Bangsa Haji Abdul Malek, berkata istiadat dijalankan di bawah undang-undang teradat iaitu berkeadilan, berundang, bersalasilah, berteromba pada 22 April lalu.
“Ia diperkukuh Ibu Soko Klana Hilir dan Waris Klana Hilir serta disaksikan Ibu Soko Waris Negeri, Waris Negeri, Dato’ Lembaga Lingkungan, To’ Buapak Lingkungan dan pegawai kerajaan.
“Pemilihan mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungai Ujong 1910 dan hukum adat ‘patuh tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungai Ujong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pelantikan berkenaan disahkan Dato’ Andulika Mandakila Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang sah dan diiktiraf Kerajaan Negeri Sembilan berdasarkan Fasal 48 (VI) Teromba dan Salasilah Negeri Sungai Ujong 1910.
“Aturan adat menjadikan Dato’ Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959. Turut dilampirkan latar belakang YM Waris Klana Hulu Muhammad Faris,” menurut kenyataan itu lagi.
Firma global Marsh
Shaharumzaman dalam kenyataan berasingan memaklumkan bahawa Faris dilahirkan pada 30 Oktober 1997, anak kedua pasangan Johari Meor Ngah dan Ibu Soko Klana Hulu Shazlina b Dato’ Sinda Maharaja Haji Abd Karim.
Jelasnya, ibu kepada bekas pelajar MRSM Beseri, Perlis sebelum memperoleh sarjana muda perakaunan di Universiti Teknologi MARA adalah lulusan Universiti McGill, Montreal, Kanada manakala bapanya pula graduan Universiti Coventry, England.
Kata kenyataan itu, Faris memperoleh kelayakan profesional menerusi program Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) pada 2022 dan kini berkhidmat sebagai akauntan di firma global Marsh.
“Muhammad Faris ialah Waris Klana Hulu berketurunan langsung Dato’ Klana Petra Bador ibni Dato’ Penghulu Menteri Chantek, Undang Luak Sungai Ujong pertama mengikut nasab ibu,” ujarnya.
Faris juga adalah piut Dato’ Klana Petra Ma’amor bin Dato’ Menteri Kassim Undang Luak Sungai Ujong ke-8 dan YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Abdullah Panglima Muda Luk Undang Luak Jelebu ke-12 (lebih dikenali Lion of Jelebu atau Singa Jelebu).
BACA JUGA DAP bincang perkembangan terkini krisis di Negeri Sembilan, sedia hadapi kemungkinan PRN mengejut