PMKS terhimpit’ krisis global : Kerajaan tawar moratorium
Kerajaan mempergiat langkah sokongan termasuk penstrukturan semula pinjaman dan moratorium bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terkesan akibat krisis bekalan global.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohammad Alamin berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara(MTEN) bagi memastikan aliran tunai usahawan kekal stabil.
“Kita akan terus melaksanakan langkah bagi meringankan beban usahawan PMKS,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan Angkasa 2026, pada Isnin.
Menurut Mohammad, semua agensi berkaitan telah diarahkan mengambil pendekatan proaktif dengan menyediakan intervensi bersesuaian di peringkat akar umbi, termasuk kepada koperasi yang terlibat dalam aktiviti perniagaan.
Katanya, Suruhanjaya Koperasi Malaysia turut menggerakkan pasukan khas bagi menilai tahap impak krisis terhadap koperasi, dengan laporan dijangka diperoleh dalam masa terdekat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata kerajaan turut melaksanakan langkah khas membantu usahawan terjejas akibat kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Antara bantuan termasuk moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan, selain peluang memohon pembiayaan baharu untuk memulakan semula perniagaan.
Kebakaran besar yang berlaku awal April lalu di Kampung Bahagia, Batu Sapi melibatkan kira-kira 1,000 rumah dan menjejaskan hampir 10,000 isi rumah.
Langkah intervensi itu dilihat sebagai usaha kerajaan memastikan kelangsungan perniagaan kecil serta pemulihan ekonomi tempatan terus diperkukuh di tengah ketidaktentuan global.