PRN N9:  BN boleh ‘survive’ tanpa PH? Jawapannya tak semudah itu

Jika pilihan raya negeri (PRN) di Negeri Sembilan diadakan dalam masa terdekat, peluang Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan prestasi seperti pada 2023 dilihat tidak begitu meyakinkan, terutama tanpa sokongan Pakatan Harapan (PH).

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu, Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata keputusan PRN Ogos 2023 menunjukkan kemenangan BN banyak bergantung kepada pemindahan undi daripada penyokong PH.

Menurutnya, kajian lapangan yang dijalankan ketika itu mendapati pengundi teras PH cenderung memberikan undi kepada calon BN secara optimum, namun perkara sama tidak berlaku dalam kalangan penyokong BN terhadap PH.

“Vote transferability PH kepada BN berlaku dengan baik, tetapi sebaliknya untuk undi BN kepada PH,” katanya.

Dalam PRN 2023, Umno-BN memenangi 14 kerusi, sebahagian besarnya dengan majoriti tipis, khususnya di kawasan seperti Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juasseh, Seri Menanti, Senaling dan Kota.

Kerusi-kerusi tersebut dimenangi dengan kelebihan beberapa puluh hingga beberapa ratus undi sahaja, sekali gus menunjukkan betapa kritikalnya sokongan pengundi PH dalam menentukan keputusan.

Berdasarkan simulasi kajian tersebut, tanpa sokongan pengundi PH, BN berdepan kesukaran besar untuk mempertahankan kemenangan di kerusi-kerusi berkenaan.

Malah, kajian sama turut mendapati sekitar 27 peratus pengundi BN dalam PRU15 pada November 2022 menyatakan kecenderungan untuk mengundi Perikatan Nasional (PN) dalam PRN 2023.

Selain itu, kira-kira 15 peratus lagi pengundi BN ketika itu masih tidak pasti, namun menunjukkan kecenderungan ke arah PN.

Mengulas situasi semasa, Yusri berkata beliau tidak mempunyai data empirikal terkini, namun analisis sentimen awam susulan krisis politik terbaru menunjukkan persepsi terhadap BN Negeri Sembilan tidak begitu positif ketika ini.

“Adakah BN kini lebih kuat berbanding 2023? Saya tiada data lapangan terbaru, tetapi daripada sentimen semasa, ia nampaknya tidak memihak kepada BN,” katanya.