SEKPUR puji tindakan pantas polis tangani kes hina sultan Selangor

FOTO BERITA: Sidang Media oleh SEKPUR Mej. (B) Razali Zakaria S/U dan Shahbudin Embun Pengerusi Biro Politik mengenai penghinaan terhadap DYMM Sultan Selangor oleh di Lobi Hotel Lazdana, Kuala Lumpur. 5hb Mei 2026 (Selasa)

Sekretariat Gerak Gempur Media (SEKPUR) memuji tindakan pantas pihak berkuasa dalam menahan individu yang dipercayai terlibat dalam kes penghinaan terhadap DYMM Sultan Selangor, sekali gus menegaskan keperluan tindakan tegas terhadap isu melibatkan sensitiviti 3R (agama, kaum dan institusi diraja). Perkara itu disuarakan dalam satu sidang media yang diadakan di Lobi Hotel Lazdana hari ini oleh Setiausaha SEKPUR, Razali Zakaria, bersama Pengerusi Biro Politik, Shahbudin Embun.

Menurut Razali, pihaknya pada asalnya merancang untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi berhubung isu berkenaan, namun dimaklumkan bahawa suspek telah ditahan oleh pihak berkuasa di Pulau Pinang. “Dengan penahanan tersebut, kami tidak meneruskan laporan polis. Namun, kami mengucapkan tahniah kepada pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atas kecekapan mengesan serta menahan individu yang terlibat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi melalui isu 3R bagi memastikan keharmonian negara terus terpelihara. “Pencegahan adalah lebih baik daripada merawat. Jika perkara ini tidak dibendung dari awal, ia boleh mencetuskan ketegangan yang lebih besar dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Shahbudin menyifatkan tindakan menghina institusi diraja sebagai satu perbuatan biadab dan tidak boleh diterima sama sekali. “Perbuatan tersebut amat melampau dan tidak menghormati institusi diraja. Kami berharap tindakan tegas diambil sebagai pengajaran kepada pihak lain agar tidak mengulangi kesalahan sama,” ujarnya.

Dalam sidang media sama, SEKPUR turut menyentuh perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan yang disifatkan masih belum menemui titik penyelesaian. Menurut mereka, kemelut yang melibatkan sokongan terhadap Menteri Besar dilihat belum stabil walaupun terdapat dakwaan sebahagian pihak telah menarik balik sokongan.

“Keadaan ini menunjukkan situasi politik masih belum benar-benar kukuh. Kita harap ia tidak menjejaskan kestabilan kerajaan negeri serta hubungan antara parti dalam kerajaan perpaduan,” kata Razali. SEKPUR turut memaklumkan akan terus memantau isu-isu semasa termasuk perkara berkaitan sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja, serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perlu.

Sidang media tersebut diadakan bagi menyuarakan pendirian SEKPUR terhadap isu semasa serta menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, khususnya di platform media sosial.