Shahril kata Umno Negeri Sembilan silap besar, persepsi ‘tebuk atap’ dah terbentuk
Bekas Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan menyifatkan tindakan 14 ADUN Umno Barisan Nasional Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sebagai satu “kesilapan besar” yang boleh memberi kesan buruk kepada parti itu.
Beliau berkata, walau apa jua hujah teknikal atau penjelasan yang dikemukakan, tanggapan rakyat tetap melihat langkah tersebut sebagai cubaan mengambil kesempatan terhadap krisis melibatkan institusi negeri.
Menurutnya, persepsi itu lebih kuat apabila wujud kenyataan bahawa Umno sudah bersedia membentuk kerajaan baharu, sekali gus mengundang naratif bahawa parti berkenaan cuba “menebuk atap” atau merampas kuasa.”
“Ini boleh menjadi satu kesilapan besar kepada Umno. Tradisi cuba menurunkan kerajaan ini bukan datang daripada Umno tetapi datang daripada sebelum itu lagi pada 2008, 2009.
“Akhirnya tanggapan rakyat masih akan menyatakan bahawa ADUN-ADUN Umno dan Umno sendiri mengambil kesempatan atas krisis perlembagaan.
“Kalau sekadar menarik sokongan dan menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran kerajaan negeri, mungkin masih boleh dipertahankan dari sudut hujah.
“Tetapi apabila disebut sudah bersedia membentuk kerajaan dengan Perikatan Nasional, itu menjadi kesilapan yang akan dimainkan oleh pihak lawan dan ia ada asas. Kini Umno akan dianggap kembali kepada perangai lama dia, iaitu cuba tebuk atap, rampas kuasa.,” katanya dalam Podcast Keluar Sekejap baru-baru ini.
Shahril menjelaskan, walaupun pelbagai infografik dan penjelasan cuba dikeluarkan bagi memperbetulkan keadaan, usaha tersebut dilihat sudah terlambat untuk mengubah persepsi awam.
Katanya, tindakan itu berisiko mengembalikan imej lama Umno sebagai parti yang dikaitkan dengan usaha menjatuhkan kerajaan melalui jalan pintas, sekali gus meletakkan parti dalam posisi defensif.
“Jika sebelum ini UMNO dilihat stabil dan tersusun berbanding parti lain, perkembangan ini boleh menjadi kesilapan besar yang akan membawa kos politik pada pilihan raya akan datang,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa jika isu tersebut tidak diurus dengan baik, ia bukan sahaja menjejaskan kredibiliti parti, malah melemahkan naratif Umno sebagai parti yang memperjuangkan kestabilan dan institusi.
BACA JUGA MetMalaysia keluar amaran cuaca panas Tahap 1 di Sabah dan 4 kawasan di Semenanjung