AgroMadani mahu sampah dapur jadi baja murah untuk petani

Lambakan sisa makanan dan sisa hijau yang dibuang setiap tahun sepatutnya tidak berakhir di tapak pelupusan semata-mata, sebaliknya boleh dijadikan sumber baja organik yang mampu membantu petani mengurangkan kos pengeluaran.

Atas sebab itu, Pertubuhan Muafakat Komuniti AgroMadani Malaysia menggesa pihak berkuasa pengurusan sisa pepejal mempercepat usaha memproses sisa makanan serta daun-daun kering kepada kompos dan baja organik untuk kegunaan sektor pertanian negara.

Pengerusinya, Datuk Romli Ishak berkata langkah itu penting bagi memperkukuh amalan pertanian lestari selain mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia yang semakin mahal.

Menurut beliau, Malaysia dianggarkan membuang lebih lapan juta tan sisa makanan dan sisa hijau setiap tahun sedangkan bahan tersebut sebenarnya boleh diproses menjadi baja organik bernilai tinggi.

“Usaha ini penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan pertanian lestari dan organik yang bukan sahaja selamat, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia,” katanya dalam satu kenyataan.

Romli berkata, inisiatif tersebut juga mampu membantu mengurangkan kos pengeluaran petani dan pekebun kecil sekiranya dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara.

Menurutnya, penggunaan baja organik daripada sisa makanan bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor pertanian, malah membantu mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) memastikan baja organik berasaskan biosolid daripada proses rawatan kumbahan benar-benar selamat sebelum digunakan dalam sektor pertanian.

Katanya, walaupun pihaknya menyokong usaha menghasilkan baja organik daripada biosolid, aspek keselamatan pengguna tidak boleh dipandang ringan terutama jika melibatkan tanaman makanan.

“Walaupun menyokong inisiatif penghasilan baja organik daripada biosolid, terdapat kebimbangan terhadap potensi risiko kepada kesihatan pengguna sekiranya ia digunakan bagi tanaman makanan,” katanya.

Beliau berkata baja berasaskan biosolid mungkin lebih sesuai digunakan untuk tanaman bukan makanan seperti getah, landskap dan pokok hutan.

Romli turut memetik beberapa kajian antarabangsa yang menunjukkan kemungkinan kandungan logam berat seperti plumbum, kadmium, merkuri dan arsenik dalam sisa kumbahan boleh diserap ke dalam tisu tanaman makanan.

Selain itu, katanya, enapcemar daripada loji kumbahan yang tidak dirawat dengan sempurna berisiko mengandungi bakteria berbahaya seperti Salmonella dan E. coli selain virus dan parasit yang boleh memasuki rantaian makanan manusia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan kawalan kualiti yang ketat serta pemantauan berterusan bagi memastikan penggunaan baja organik berasaskan biosolid benar-benar selamat untuk sektor pertanian negara.