Dikaitkan dengan wang berbilion? Farhash nafi dakwaan ada akaun di Turki, mahu saman penyebar fitnah
Ahli perniagaan Datuk Seri Farhash Wafa Salvador tampil menafikan dakwaan kononnya beliau terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram serta memindahkan dana berbilion ringgit ke luar negara termasuk ke Turkiye dan Afrika.
Penafian itu dibuat susulan beberapa laporan portal berita serta penyebaran rakaman video yang didakwa memaparkan perbualan dua individu dikenali sebagai Sofia Rini dan Albert Tei.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Farhash berkata tuduhan yang tersebar sejak 22 April lalu adalah tidak benar dan disifatkan sebagai fitnah yang sengaja direka untuk merosakkan reputasinya.
“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut.
“Dakwaan-dakwaan ini adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah yang jelas bertujuan mencemarkan reputasi serta integriti saya,”katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya dirinya kini merupakan warganegara Turkiye serta mempunyai akaun bank di negara tersebut.
Menurut Farhash, beliau hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak lagi aktif dalam politik ketika ini.
“Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik,” katanya lagi.
Farhash berkata beliau memandang serius penyebaran rakaman video berkenaan dan menyifatkannya sebagai tindakan berniat jahat yang boleh melanggar undang-undang.
Susulan itu, beliau mengesahkan satu laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah peruntukan undang-undang berkaitan termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah.
Dalam masa sama, beliau turut mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyebaran dakwaan tersebut.
“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai dijalankan pihak berkuasa.
BACA JUGA Walau kos tinggi, kerajaan terus tanggung subsidi demi lindungi rakyat