Malaysia catat antara rekod bawa pulang RM31.3 bilion duit 1MDB
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya mendapatkan semula RM31.3 bilion dana berkaitan skandal 1MDB setakat tahun lalu, iaitu bersamaan 74.5 peratus daripada keseluruhan RM42 bilion yang dipercayai diseleweng.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata pencapaian itu sekali gus meletakkan Malaysia antara negara dengan kadar pemulihan aset tertinggi di dunia bagi kes jenayah kewangan berskala besar.
Jumlah tersebut juga melepasi sasaran awal sekitar RM30 bilion atau 70 peratus yang pernah disebut dalam laporan terdahulu.
Menurut Azam, kejayaan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menjejak dan mendapatkan semula aset negara yang hilang akibat skandal 1MDB.
Beliau berkata usaha pemulihan aset itu turut selari dengan aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memastikan setiap aset negara yang diseleweng dipulangkan semula kepada rakyat.
“Setakat ini, berdasarkan data yang ada, jumlah keseluruhan dana 1MDB yang diseleweng ialah RM42 bilion,” katanya dalam sidang media hari ini.
Azam turut menjelaskan bahawa kejayaan pemulihan aset dicapai melalui kerjasama antarabangsa melibatkan pelbagai pihak termasuk Federal Bureau of Investigation (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.
Katanya, pendekatan yang digunakan bukan sekadar rampasan fizikal, tetapi melalui proses undang-undang dan diplomatik yang teliti melibatkan pelbagai negara.
BACA JUGA Malaysia ‘tapau’ emas Asia! Program NTIS bukti teknologi tempatan bukan sekadar cakap kosong