Tak payah isi borang lagi! HASiL lancar e-Rayuan cukai pegangan di MyTax
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) kini memperkenalkan kemudahan baharu apabila perkhidmatan e-Rayuan Pungutan Cukai Pegangan boleh diakses sepenuhnya secara dalam talian menerusi portal MyTax.
Langkah ini membolehkan pembayar cukai mengemukakan rayuan, permohonan serta pertanyaan dengan lebih pantas tanpa perlu lagi melalui kaedah manual menggunakan borang maklum balas pelanggan.
Menurut HASiL, pengguna hanya perlu melayari portal MyTax dan log masuk sebagai individu, pengarah atau wakil pengarah sebelum mengakses perkhidmatan e-Rayuan di bawah menu ezHasil.
Perkhidmatan tersebut merangkumi pelbagai urusan termasuk pelarasan bayaran, permohonan hapus kenaikan, pengecualian (waiver), bayaran balik serta pertanyaan berkaitan cukai pegangan.
Selain itu, pengguna juga boleh menyemak status permohonan secara dalam talian pada bila-bila masa, sekali gus meningkatkan ketelusan dan pengalaman mesra pelanggan.
Dari segi akses, individu boleh mengemukakan rayuan secara terus, manakala syarikat pula boleh berbuat demikian melalui pengarah atau wakil yang dilantik.
HASiL memaklumkan inisiatif ini selaras dengan usaha memperluas pendigitalan perkhidmatan awam, di samping mengurangkan kebergantungan kepada proses manual serta meningkatkan kecekapan penyampaian.
“Pendekatan ini juga bertujuan memastikan sistem percukaian lebih mudah diakses, cekap dan menyokong tahap pematuhan cukai yang lebih baik dalam kalangan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Hasil Contact Centre atau menggunakan kemudahan Live Chat serta borang maklum balas di portal rasmi HASiL.