Tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan
Tiada lagi kerajaan minoriti di Negeri Sembilan selepas Majlis Perundingan Pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menurutnya yang juga Pengerusi PH negeri, berikutan itu kedudukan kerajaan Negeri Sembilan ketika ini kembali kepada asal iaitu sebelum krisis politik yang berlaku.
“Tiada lagi status kerajaan minoriti apabila kepemimpinan tertinggi UMNO dan PH membuat keputusan untuk mengekalkan kesepakatan dan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Cuma hanya hari kejadian itu saja, ketika itu pun tiada keputusan kerana mereka (pemimpin pembangkang) pun belum jelas.
“Jadi, perkataan itu (minoriti) tidak sesuai digunakan lagi berdasarkan keputusan biro politik semalam,” tegasnya.
Malah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat itu, dua pemimpin pembangkang iaitu dari Bersatu telah menyatakan untuk tidak lagi menyokong langkah 14 ADUN UMNO yang menarik sokongan.
“Tumpuan saya sekarang hanya buat kerja,” kata Aminuddin lagi pada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Wisma Negeri hari ini.
Semalam, UMNO dan PH sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Ia antara tiga persetujuan dan ketetapan dicapai hasil Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH yang dipengerusikan Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, beliau menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan UMNO dan PH dan akur dengan arahan yang telah ditetapkan.
“Saya menerima keputusan itu dan akan melaksanakan amanah yang telah diberikan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Pemuda AMANAH mahu potong gaji wakil rakyat ponteng