Bukan setakat Bollywood – Malaysia, India ada misi selamatkan harimau, bangunkan industri REE
Malaysia dan India bersetuju memperkukuh kerjasama strategik melibatkan pemuliharaan biodiversiti global serta pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) ketika dunia semakin memberi perhatian kepada isu keselamatan sumber mineral dan perubahan iklim.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan delegasi Republik India yang diketuai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B.N. Reddy.
Pertemuan tersebut dihoskan Timbalan Menteri NRES, Syed Ibrahim Syed Noh bagi membincangkan pelbagai potensi kerjasama dua hala termasuk teknologi hijau, perlindungan hidupan liar dan pembangunan mineral kritikal.
Antara fokus utama ialah penglibatan aktif Malaysia sebagai ahli pengasas International Big Cat Alliance (IBCA), sebuah gabungan antarabangsa yang memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan spesies kucing besar termasuk Harimau Malaya.
Menurut NRES, penyertaan Malaysia dalam platform antarabangsa itu selari dengan kejayaan penguatkuasaan biodiversiti negara menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK).
Sejak 2019, operasi tersebut merekodkan nilai sitaan berkaitan jenayah hidupan liar mencecah RM413.1 juta.
Malaysia juga dijadual menyertai 1st IBCA Summit di New Delhi pada 1 Jun depan bagi memuktamadkan Delhi Declaration berkaitan pemuliharaan spesies kucing besar.
Selain isu biodiversiti, Malaysia turut menyatakan minat mendalami kepakaran India dalam industri unsur nadir bumi atau REE yang kini menjadi rebutan kuasa besar dunia susulan permintaan tinggi terhadap teknologi bateri, semikonduktor dan tenaga hijau.
Kerajaan melihat India mempunyai pengalaman luas menerusi syarikat Indian Rare Earths Limited (IREL), khususnya dalam teknologi pemprosesan midstream dan pembangunan rantaian nilai industri mineral kritikal.
Melalui kerjasama itu, Malaysia berharap dapat mempercepat pembangunan industri REE tempatan dengan nilai tambah lebih tinggi selain mengurangkan kebergantungan kepada pemain global tertentu.
Kerjasama dicadangkan turut melibatkan pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan.
Dalam masa sama, Malaysia turut mempelawa India menyertai International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) 2026 yang akan berlangsung pada Oktober depan.
NRES berkata platform tersebut boleh membuka peluang lebih besar dalam bidang ekonomi kitaran, teknologi rendah karbon dan pelaburan hijau serantau.
Pertemuan itu juga menyentuh potensi kerjasama bersama National Biodiversity Authority (NBA) India berkaitan kerangka Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) selain perkembangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang dijangka dibentangkan di Parlimen Jun ini.
Malaysia dan India turut menegaskan komitmen bersama memastikan rantaian bekalan mineral kritikal dunia kekal stabil di samping memperkukuh agenda kelestarian alam sekitar di rantau Asia.
BACA JUGA Sultan Perak perkenan belia beri khutbah Jumaat esok