Hero filem bakal CM? Parti Vijay goncang Tamil Nadu tapi belum cukup kerusi

Bintang filem terkenal India, Vijay kini semakin hampir mencipta sejarah politik apabila partinya, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), muncul sebagai parti terbesar dalam pilihan raya Tamil Nadu 2026 sekali gus menggugat dominasi tradisi DMK dan AIADMK.

Bagaimanapun, perjalanan aktor yang digelar “Thalapathy” itu untuk menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu masih belum mudah apabila TVK dilaporkan belum mencapai angka majoriti mudah 118 kerusi diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri.

Laporan media India, www.onmanorama.com menyebut Vijay sudah bertemu Gabenor Tamil Nadu untuk mengemukakan tuntutan membentuk kerajaan selepas TVK muncul parti terbesar dalam Dewan Undangan Negeri berkapasiti 234 kerusi itu.

Namun, Gabenor dilaporkan meminta bukti sokongan mencukupi sebelum memberi lampu hijau kepada pembentukan kerajaan baharu.

Situasi itu mencetuskan pelbagai spekulasi politik termasuk kemungkinan pembentukan kerajaan minoriti, kerjasama baharu atau pilihan raya semula sekiranya TVK gagal membuktikan majoriti dalam tempoh ditetapkan.

Menurut beberapa laporan, TVK memperoleh sekitar 108 kerusi hanya kurang 10 kerusi daripada majoriti mudah dalam keputusan yang dianggap antara kejutan terbesar politik Tamil Nadu sejak beberapa dekad lalu.

Kemenangan besar itu juga dilihat memecahkan dominasi dua blok utama Tamil Nadu iaitu DMK dan AIADMK yang menguasai politik negeri tersebut sejak 1967.

Pemerhati politik India menyifatkan kebangkitan TVK didorong pengaruh besar Vijay dalam kalangan anak muda, pengundi bandar serta kempen media sosial agresif yang membawa naratif “politik baharu” dan anti-establishment.

Dalam masa sama, perkembangan politik Tamil Nadu kini semakin tegang apabila beberapa parti mula melakukan gerakan strategik termasuk memindahkan ahli dewan masing-masing ke lokasi khas bagi mengelakkan cubaan lompat parti.

Jika berjaya membentuk kerajaan, Vijay bakal menjadi satu lagi pelakon terkenal India Selatan yang berjaya menawan pentas politik selepas legenda seperti M.G. Ramachandran dan Jayalalithaa.

BACA JUGA “Kalau mabuk, jangan pegang stereng”, saran TokTi