Isu sentuh institusi Diraja: Laporan polis dibuat di IPD Dang Wangi

FOTO BERITA: Laporan Polis & Sidang Media oleh Dato’ Seri Megat D Shahriman Dato’ Zaharuddin Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berkaitan isu kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. 6hb Mei 2026 (Rabu)

Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Megat D Shahriman hari ini tampil membuat laporan polis berhubung isu yang didakwa menyentuh sensitiviti serta kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.

Laporan tersebut dibuat di IPD Dang Wangi susulan satu kejadian yang berlaku pada 2 Mei lalu, yang menurut beliau berpotensi menjejaskan kedudukan institusi beraja di negeri itu.

Dalam sidang media selepas membuat laporan, beliau menegaskan bahawa Institusi Diraja perlu terus dipertahankan daripada sebarang tindakan yang boleh mencemar kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan yang bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak sekretariat menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, sekretariat akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berlangsung dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.. Terdahulu, tindakan membuat laporan polis itu dibuat sebagai langkah memastikan kedaulatan Institusi Diraja Negeri Sembilan terus terpelihara serta dihormati oleh semua pihak.