‘Jangan ulangi tebuk atap, tunggulah PRU nak berkawan boleh, nak lawan pun boleh!’
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak agar tidak lagi mengulangi tindakan ‘tebuk atap’ yang pernah menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Berucap dalam ceramah Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan malam tadi, beliau berkata politik masa kini bukan lagi soal parti mana paling besar atau kuat sebaliknya adalah bagaimana membentuk kerjasama yang mampu menjamin kestabilan kerajaan dan keselesaan rakyat.

MenurutMenteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkenaan, semangat politik gabungan perlu diterima dalam landskap politik baharu negara ketika ini.
“Dalam pemahaman politik baharu sekarang ini bukan soal siapa besar dan siapa kuat. Sebaliknya, dilihat dari segi bagaimana untuk membina perpaduan,” katanya.
Mohamad turut mengimbas kembali pembentukan kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 apabila Tun Dr Mahathir Mohamad dari Bersatu dipilih sebagai Perdana Menteri walaupun parti itu hanya memenangi 13 kerusi Parlimen.
Mesra dikenali sebagai Bang Mat, beliau berkata, pengalaman itu membuktikan politik gabungan memerlukan tolak ansur dan persefahaman antara parti-parti dalam kerajaan.
“Janganlah ulang jatuh kerajaan melalui cara tebuk atap.
“Kita biasa kalah pilihan raya, itu tidak menjadi masalah tetapi bila kita menang dan membentuk kerajaan, jatuh kerajaan kerana tebuk atap ini, tolonglah jangan ulang di mana-mana.
“Tunggu, sabarlah sampai pilihan raya umum, kita lawan!
“Nak berkawan pun boleh, nak lawan pun boleh!” tegasnya dalam ceramah di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu.
Turut hadir Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Musuh politik
Dalam masa sama, Mohamad mengakui bukan mudah untuk PH bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), memandangkan kedua-dua gabungan itu pernah menjadi musuh politik tradisi.
Namun katanya, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan perlu diselesaikan melalui musyawarah dengan mengutamakan kepentingan rakyat.
“Bila kita berkawan dengan musuh lama kita, tentu ada perkara-perkara yang mereka tidak berkenan dengan kita, dan kita tidak berkenan dengan mereka.
“Itu perkara biasa yang diselesaikan secara musyawarah dengan mengutamakan kepentingan menjaga keselesaan rakyat. Itu yang paling penting,” katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja turut mengingatkan bahawa kerajaan kini sedang berdepan suasana global yang tidak menentu susulan konflik di Asia Barat.
“Dalam keadaan perang yang tidak menentu, entah bila akan tamat. Kita bekerja dalam keadaan krisis.
“Perdana Menteri panggil kita bila-bila masa. Dalam masa sama, kita berada pula dalam krisis politik. Itu tidak berapa baguslah,” kata Mohamad lagi.
BACA JUGA ‘Siap sedia hadapi pilihan raya, mereka tak puas hati’ – Tok Min