KPDN Selangor lumpuhkan sindiket penyelewengan LPG subsidi bernilai RM750,000

FOTO BERITA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor berjaya melumpuhkan satu aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang dianggarkan menyebabkan ketirisan subsidi negara bernilai RM750,000 dalam serbuan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Tok Mori, Tanjung Sepat, semalam.

Serbuan yang dijalankan kira-kira jam 3 petang itu dilakukan hasil risikan selama sebulan oleh pasukan penguat kuasa KPDN Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas IPK Selangor. Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa menyerbu sebuah premis tanpa nombor yang dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan menemukan aktiviti “decanting”, iaitu pemindahan gas LPG bersubsidi 14 kilogram ke tong gas komersial 50 kilogram.

Dua lelaki warga asing berusia bawah 30 tahun yang dipercayai sedang menjalankan aktiviti berkenaan ditahan bagi membantu siasatan. Menurut KPDN Selangor, sindiket dipercayai menjual tong LPG 50 kilogram yang diisi menggunakan gas bersubsidi kepada pihak industri pada harga lebih rendah daripada harga pasaran sebenar.

“Hasil pemeriksaan turut menemui hos penyambung, alat timbang pelantar serta beberapa bungkusan plastik berisi ais yang dipercayai digunakan dalam proses pemindahan gas menggunakan teknik konvensional,” menurut kenyataan media KPDN Selangor hari ini. Siasatan awal mendapati bekalan LPG bersubsidi dipercayai diperoleh daripada pemborong berlesen di sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek sebelum dipindahkan secara haram untuk kegunaan komersial.

Susulan itu, KPDN Selangor akan memberi fokus kepada siasatan terhadap keseluruhan rantaian pembekalan yang dipercayai terlibat dalam sindiket tersebut. Dalam serbuan berkenaan, pihak penguat kuasa menyita kira-kira 250 tong LPG pelbagai jenama berkapasiti 14 kilogram dan 50 kilogram dengan anggaran berat keseluruhan gas mencecah 3,000 kilogram. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM400,000.

Tindakan sitaan dibuat di bawah Subseksyen 10(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21 akta sama dibaca bersama Peraturan 3(1) kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk menjalankan urus niaga tanpa lesen sah.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam sindiket penyelewengan barang kawalan bersubsidi. Beliau berkata individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya, selain hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika disabitkan bersalah. “KPDN Selangor akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi memastikan aktiviti haram seperti ini dapat dibendung dan subsidi negara dapat diselamatkan,” katanya.