Subsidi tak hilang: Kerajaan sedang kemas kini semula kuota fleet card 

Sebahagian pemegang fleet card di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dilaporkan gagal menerima kuota subsidi bahan api bermula 1 Mei lalu susulan masalah teknikal melibatkan sistem kerajaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan gangguan itu berpunca daripada isu integrasi data antara sistem MySikap milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan sistem MySubsidi KPDN.

Menurut kementerian itu, masalah berkenaan menjejaskan sebahagian pemilik kenderaan yang melakukan urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pendaftaran kenderaan baharu atau pertukaran hak milik sepanjang tempoh 1 hingga 28 April lalu.

“Situasi ini menyebabkan kuota subsidi bahan api bagi sesetengah pemegang fleet card tidak dapat dijana seperti biasa,” menurut kenyataan KPDN hari ini.

Isu tersebut dipercayai memberi kesan kepada pengusaha logistik, syarikat pengangkutan serta pemilik kenderaan komersial yang bergantung kepada sistem subsidi bersasar bahan api untuk operasi harian mereka.

KPDN bagaimanapun berkata tindakan pembetulan sedang dilakukan bersama agensi berkaitan bagi memastikan proses pengemaskinian data dan penjanaan semula kuota dapat diselesaikan segera.

Menurut kementerian itu, kuota subsidi yang terjejas dijangka dapat dijana semula antara 9 hingga 11 Mei ini.

Dalam masa sama, pemegang fleet card SKDS dan SKPS yang terkesan diminta membuat permohonan semakan dan pengemaskinian data melalui pautan rasmi yang disediakan kementerian sebelum jam 5 petang esok.

Sistem SKDS dan SKPS merupakan antara mekanisme utama kerajaan dalam pelaksanaan subsidi bersasar bahan api bagi memastikan hanya pengguna dan sektor layak menerima manfaat subsidi diesel serta petrol.