Walau perang Timur Tengah : BNM kekalkan OPR 2.75%
Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini, ketika bank pusat itu terus menilai kesan ketidaktentuan geopolitik global khususnya konflik yang berterusan di Asia Barat terhadap ekonomi domestik.
Keputusan itu dibuat selepas BNM mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi yang masih mampan dan tekanan inflasi yang dijangka kekal terkawal meskipun harga komoditi global meningkat akibat ketegangan geopolitik.
“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” menurut bank pusat itu dalam kenyataan.
BNM sebelum ini menurunkan OPR daripada 3% kepada 2.75% pada Julai tahun lalu sebagai langkah awal bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara terus stabil dalam suasana inflasi sederhana.
Data terkini menunjukkan ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku pertama 2026, dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan serta pertumbuhan eksport yang kekal kukuh, khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).
Menurut BNM, pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan gaji dan pelbagai langkah dasar kerajaan dijangka terus menyokong perbelanjaan isi rumah dalam tempoh mendatang.
Aktiviti pelaburan pula dijangka terus berkembang hasil kemajuan projek berbilang tahun sektor awam dan swasta, pelaksanaan projek baharu berskala kecil serta realisasi pelaburan yang telah diluluskan sebelum ini.
Sektor luaran juga dilihat terus menyokong pertumbuhan, dibantu oleh eksport E&E yang kekal teguh selain perbelanjaan pelancong asing, walaupun pada kadar yang lebih sederhana.
Namun begitu, bank pusat memberi amaran bahawa prospek ekonomi negara masih terdedah kepada risiko luaran, terutama jika konflik di Timur Tengah berlarutan lebih lama daripada jangkaan.
“Ketidakpastian berhubung tempoh dan keseriusan konflik Timur Tengah akan mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri,” kata BNM.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi boleh menjadi lebih perlahan sekiranya konflik terus menjejaskan perdagangan global dan pengeluaran komoditi, manakala risiko pertumbuhan lebih tinggi pula boleh berlaku jika ketegangan geopolitik mereda dan permintaan global terhadap produk E&E kembali meningkat.
Dari sudut harga pengguna, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing merekodkan purata 1.6% dan 2.1% pada suku pertama tahun ini.
BNM menjangkakan kenaikan harga komoditi global akibat konflik Asia Barat akan meningkatkan sedikit tekanan kos dalam negara, namun kesannya terhadap inflasi keseluruhan dijangka masih terkawal susulan langkah dasar domestik serta keadaan permintaan yang stabil.
BACA JUGA Exco Pertanian Terengganu dari Pas pun tak berani pertahankan RM3,000 per tan