Anti klon : MyKad baharu miliki 53 ciri keselamatan
MyKad generasi baharu yang dijangka mula diperkenalkan bulan depan bakal tampil dengan sistem keselamatan jauh lebih canggih apabila dilengkapi 53 ciri perlindungan berbanding hanya 23 ciri pada MyKad sedia ada.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata penambahbaikan besar itu dibuat bagi menghadapi ancaman pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi digital yang semakin kompleks.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias berkata antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod QR khas untuk penguatkuasaan serta cip dengan tahap enkripsi lebih tinggi.
“MyKad baharu diperkenalkan bermula Jun ini dengan penambahbaikan besar dari segi struktur dan ciri keselamatan bagi memperkukuh sistem identiti nasional negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Temu Mesra Pengurusan JPN bersama media di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pelaksanaan MyKad generasi baharu itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh sistem identiti rakyat supaya lebih moden, selamat dan diyakini.
Katanya, perkembangan teknologi digital dan peningkatan ancaman siber memerlukan Malaysia memiliki sistem pengenalan diri yang lebih sukar dipalsukan.
“Dalam era ancaman pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi digital, Malaysia memerlukan sistem identiti yang lebih moden, selamat dan diyakini,” katanya lagi.
JPN turut memberi jaminan bahawa sistem MyKad negara ketika ini kekal selamat dan tidak mudah diklon.
Menurut Badrul Hisham, pihaknya juga sudah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan penggunaan MyKad baharu di seluruh negara bermula Jun ini.
MyKad diperkenalkan pada 2001 dan merupakan antara kad pengenalan pintar terawal di dunia yang menggabungkan pelbagai fungsi termasuk pengenalan diri, lesen memandu, maklumat kesihatan dan aplikasi transaksi kerajaan.