“Biar mahkamah putuskan” – Hannah ulas tuntutan keluarga mangsa lubang benam KL
Hannah Yeoh berkata sebarang tuntutan pampasan melibatkan keluarga pelancong wanita warga India yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India perlu diputuskan melalui proses mahkamah.
Menurut beliau, kerajaan bersimpati dengan nasib keluarga mangsa dan memahami keadaan mereka susulan tragedi berkenaan yang menggemparkan negara tahun lalu.
“Apa yang saya boleh nyatakan adalah kita bersimpati terhadap keluarga atas kejadian yang berlaku. Saya pasti mereka lega sekarang kerana sijil kematian telah pun dikeluarkan,” katanya kepada media hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Tapak Perkhemahan Taman Wetland Presint 13 di Putrajaya.
Mengulas soal pampasan, Hannah berkata pihak keluarga boleh meneruskan tindakan undang-undang dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menentukan jumlah ganti rugi yang bersesuaian.
“Untuk urusan tuntutan itu, peguam mereka boleh buat tuntutan di mahkamah dan kita biarkan mahkamah putuskan berapa amaun pampasan yang perlu kerana kita tak pernah ada kes seperti ini di Kuala Lumpur,” katanya.
Mangsa, G Vijaya Lakshmi, 48, dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam lubang benam di Jalan Masjid India ketika bercuti di ibu negara.
Sebelum ini, keluarga mangsa dilaporkan sedang merancang pertemuan dengan Hannah dan Maimunah Mohd Sharif bagi membincangkan tuntutan pampasan susulan kejadian tersebut.
Peguam keluarga mangsa, M Partiben dilaporkan berkata jumlah pampasan masih belum dimuktamadkan, namun pihaknya akan merujuk kepada keputusan mahkamah terdahulu yang mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar kira-kira RM824,000 dalam kes kematian seorang kanak-kanak akibat dihempap pokok tumbang.
Dalam perkembangan sama, Hannah turut menggalakkan warga kota meluangkan lebih banyak masa melakukan aktiviti luar bersama keluarga dan anak-anak.
Katanya, Putrajaya kini menjadi antara lokasi rekreasi mesra keluarga yang selamat dan menawarkan kemudahan pada kos berpatutan.
BACA JUGA PH dah mula panaskan enjin PRU16? : Konvensyen besar bakal himpunkan pimpinan utama di Johor