DAP memang majoriti, tapi banyak kali mengalah – Mat Sabu 

Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa isu perpaduan dan kestabilan pentadbiran lebih penting daripada soal parti mana yang memiliki majoriti dalam kerajaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan politik semasa selepas satu perhimpunan yang berlangsung semalam.

“Memang DAP majoriti, tapi soal perpaduan dan kestabilan yang saya tekankan semalam itu penting,” katanya dalam satu video Tanya Presiden yang disiar di akaun media sosialnya.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada perdebatan berterusan mengenai pengaruh parti-parti dalam kerajaan perpaduan, khususnya membabitkan hubungan antara PH dan BN.

Menurut Mat Sabu, fokus utama ketika ini bukan lagi persaingan dalaman, sebaliknya memastikan kerajaan terus stabil dan dapat mentadbir dengan baik.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memberi bayangan bahawa pimpinan tertinggi BN dan PH telah mencapai persefahaman untuk meneruskan kerajaan sedia ada.

“Saya yakin itu juga yang diputuskan oleh pemimpin tertinggi, mesyuarat bersama antara Umn atau BN dengan PH,” katanya.

Kenyataan itu hadir ketika pelbagai dakwaan tersebar di media sosial mengenai kemungkinan berlaku perubahan kuasa atau rombakan pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, Mat Sabu menolak naratif sedemikian dan menegaskan bahawa kestabilan politik perlu dijadikan keutamaan.

Pemerhati politik melihat kenyataan tersebut sebagai cubaan meredakan keresahan dalam kalangan penyokong parti-parti kerajaan yang bimbang terhadap kemungkinan berlaku konflik dalaman.

Dalam masa sama, beliau mengimbas pengalaman pembentukan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini sebagai contoh bahawa politik memerlukan kompromi.

“Begitulah juga masa kita dalam Pakatan Harapan dulu membentuk kerajaan, sehingga satu kerusi pun boleh jadi MB,” katanya merujuk kepada situasi di Perak apabila wakil rakyat Bersatu walaupun seorang dipilih sebagai menteri besar.