Jom serbu Quranic Madani di Bukit Bintang malam ini
Kawasan tumpuan pelancong dan hiburan di Bukit Bintang dijangka bertukar menjadi lautan manusia bersolat malam ini menerusi penganjuran program Quranic Madani yang menghimpunkan pemimpin negara, agamawan dan masyarakat umum.
Program bertemakan “Night Reset: Bersatu Dalam Saf” itu akan berlangsung pada Jumaat, 8 Mei 2026 bermula jam 8 malam hingga 11 malam di Jalan Bukit Bintang berhampiran Fahrenheit88.
Berdasarkan atur cara rasmi, program dimulakan dengan ketibaan tetamu dan para asatizah pada jam 8 malam sebelum solat Isyak berjemaah pada 8.30 malam diikuti solat hajat berjemaah sekitar 8.50 malam.
Peserta kemudian akan bersama-sama membaca Surah Al-Mulk pada jam 9 malam sebelum sesi tazkirah ringkas disampaikan beberapa pendakwah terkenal termasuk Ustaz Farkhan Da’ie, Maulana Khairi dan Ustaz Haris Ismail.
Majlis turut dijadual menampilkan ucapan tetamu kehormat antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.
Turut dijangka hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Nurul Izzah Anwar sekitar jam 10.35 malam.
Acara itu akan diakhiri dengan perasmian rasmi Quranic Madani pada 10.50 malam sebelum doa penutup dan bersurai pada jam 11 malam.
Poster rasmi program turut mengajak orang ramai membawa sejadah sendiri dan hadir dengan “hati yang tenang”.
Penganjuran program kerohanian di tengah kawasan metropolitan terkenal seperti Bukit Bintang dilihat sebagai pendekatan unik mendekatkan dakwah kepada masyarakat bandar, khususnya golongan muda yang sering memenuhi kawasan tersebut pada malam hujung minggu.
Pendekatan itu juga selari dengan usaha memperkukuh nilai kebersamaan dan penghayatan Islam dalam suasana terbuka serta inklusif di bawah gagasan Malaysia Madani.