Sentuh 3R kemelut di Negeri Sembilan, polis rakam keterangan 49 individu

Sehingga kini seramai 49 individu telah dipanggil pihak polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran kandungan di media sosial berkaitan perkembangan politik dan pemerintahan di negeri itu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, penyebaran kandungan tersebut berpotensi menimbulkan provokasi, keresahan serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat 

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan dengan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwa raya dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan selanjutnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagi Seksyen 4(1) Akta Hasitan, jika disabitkan bersalah, individu boleh didenda sehingga RM5,000 atau dipenjara sehingga 3 tahun untuk kesalahan pertama kali, dan sehingga 5 tahun bagi kesalahan berikutnya. 

Bagi kesalahan di bawah seksyen 505(B) kanun keseksaan, ia melibatkan kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam atau menghasut mana-mana golongan sehingga menjejaskan ketenteraman awam. 

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan di bawah seksyen 500 kanun keseksaan pula, ia melibatkan perbuatan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, ia melibatkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk penyebaran kandungan yang jelik, palsu, mengancam atau menyakitkan hati. 

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi rm500.000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, pdrm menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan provokasi, menggugat ketenteraman awam serta menyentuh isu 3r, khususnya melalui media sosial. 

Orang ramai juga perlu sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kestabilan negeri.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati terlibat dengan perbuatan yang boleh mengganggu keselamatan, ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

BACA JUGA Bersusun konsert waktu Pas jadi kerajaan, aktivis bidas MP Bachok jangan hipokrit