Serangan terhadap paderi, gereja Palestin kini dibawa ke Parlimen Eropah
Jawatankuasa Tinggi Presiden Palestin bagi Hal Ehwal Gereja membawa isu peningkatan serangan terhadap komuniti Kristian di wilayah Palestin yang diduduki ke Parlimen Eropah, susulan kebimbangan terhadap keselamatan rumah ibadat dan paderi di rantau tersebut.
Menurut agensi berita rasmi Palestin, Wafa, isu itu dibincangkan dalam satu pertemuan di Brussels melibatkan wakil jawatankuasa berkenaan, Amira Hanania bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Eropah, David McAllister dan anggota Parlimen Eropah Regina Doherty.
Turut hadir ialah Duta Palestin ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah Amal Jadou Shakaa, Presiden Universiti Dar al-Kalima Mitri Raheb serta paderi Gereja Anglican St Andrew di Ramallah, Rev Fadi Diab.
Delegasi Palestin mendakwa berlaku peningkatan pelanggaran terhadap institusi gereja dan golongan paderi termasuk serangan terhadap gereja, tapak suci Kristian serta ucapan kebencian yang disifatkan semakin berleluasa tanpa tindakan akauntabiliti.
Mereka turut membangkitkan situasi di beberapa bandar Tebing Barat seperti Taybeh, Birzeit dan Beit Sahour selain kawasan Al-Makhrour yang dikatakan semakin tertekan akibat serangan peneroka Israel.
Menurut delegasi itu, tekanan berterusan termasuk isu cukai ke atas hartanah gereja, rampasan tanah, sekatan ibadah dan suasana tidak selamat didakwa mengancam kelangsungan komuniti Kristian Palestin.
“Mereka melihat tindakan itu sebagai sebahagian dasar sistematik yang menyasarkan kewujudan masyarakat Kristian di Palestin,” menurut laporan Wafa.
Delegasi tersebut turut menggesa Kesatuan Eropah mengambil langkah politik lebih tegas termasuk memastikan perlindungan terhadap tapak suci agama dan komuniti Palestin.
Kedua-dua pihak juga bersetuju meneruskan kerjasama bagi mempertahankan pluralisme agama dan melindungi kehadiran komuniti Kristian di Palestin.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, beberapa insiden melibatkan komuniti Kristian mencetuskan kritikan antarabangsa terhadap Israel.
Antaranya termasuk tindakan seorang tentera Israel yang didakwa meletakkan rokok pada patung Virgin Mary di selatan Lubnan dan merosakkan patung Jesus Christ di kawasan sama.
Minggu lalu, seorang biarawati di Baitulmaqdis Timur turut dilaporkan diserang sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.
Polis Israel juga didakwa menghalang Patriark Latin Baitulmaqdis, Pierbattista Pizzaballa daripada memasuki Gereja Holy Sepulchre ketika sambutan Easter selain mengenakan sekatan terhadap penganut Kristian yang mahu menghadiri upacara keagamaan di gereja berkenaan.
Sejak perang Gaza meletus pada Oktober 2023, beberapa gereja di Gaza turut dilaporkan rosak atau musnah akibat serangan berterusan.