Trump kena lagi: Mahkamah AS kata tarif global 10% beliau tak sah

Donald Trump sekali lagi berdepan tamparan undang-undang apabila mahkamah persekutuan Amerika Syarikat memutuskan cubaan beliau mengenakan tarif global 10 peratus ke atas import adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa Amerika Syarikat selepas sekumpulan perniagaan kecil dan kerajaan negeri Washington mencabar tindakan berkenaan.

Dalam keputusan majoriti 2-1, mahkamah memutuskan pengisytiharan yang ditandatangani Trump bagi mengenakan tarif tersebut adalah “tidak sah” dan cukai import dikenakan terhadap plaintif tidak dibenarkan undang-undang.

Keputusan itu menjadi satu lagi halangan besar terhadap agenda perdagangan agresif Trump yang sebelum ini turut menerima tamparan daripada Mahkamah Agung AS awal tahun ini.

Sebelum ini, Trump cuba memperkenalkan semula tarif 10 peratus tersebut sebagai jalan alternatif selepas usaha awalnya disekat mahkamah tertinggi negara itu.

Panel hakim turut membenarkan injunksi terhadap pelaksanaan tarif berkenaan melibatkan negeri Washington dan kumpulan perniagaan yang memfailkan saman.

“Keputusan injunksi kekal adalah demi kepentingan awam,” menurut majoriti hakim dalam penghakiman tersebut.

Bagaimanapun, pentadbiran Trump dijangka akan membuat rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.

Setakat ini, Rumah Putih belum mengeluarkan sebarang komen rasmi berhubung keputusan mahkamah berkenaan.