Mufti WP puji Quranic Madani, sifatkan komitmen kerajaan perkukuh pembangunan rohani
Mufti Wilayah Persekutuan, Fauwaz Fadzil memberi respon positif terhadap penganjuran program Quranic Madani yang diadakan malam tadi di ibu negara.
Program tersebut telah dimulakan dengan solat Isyak berjemaah, diikuti bacaan Surah al-Mulk dan diteruskan dengan sesi tausiah sebagai pengisian rohani kepada para peserta yang hadir.
Dalam program tersebut, Fauwaz telah menyampaikan tausiah yang menekankan bahawa sesebuah masyarakat mampu diubah melalui pembentukan akhlak yang betul serta penghayatan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.
Beliau turut mengingatkan bahawa pembangunan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kemajuan material semata-mata, bahkan perlu diseimbangkan dengan pembinaan sahsiah dan nilai akhlak yang baik.
“Program Quranic Madani ini, mencerminkan komitmen kerajaan MADANI yang prihatin dalam memperkukuh pembangunan rohani dan kesejahteraan masyarakat.
“Penganjuran program seperti ini diharap dapat menyuburkan budaya mencintai al-Quran serta melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan bersatu padu,” katanya.
BACA JUGA Ramai teruja tengok iklan lawat Malaysia terpampang pada tren di Jepun