SKMM turunkan 398 kandungan sentuh isu 3R setakat April
Bagi tempoh awal tahun ini sehingga April, sebanyak 398 kandungan yang menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) telah diturunkan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, aduan yang diterima Suruhanjaya itu untuk menurunkan kandungan sensitif meningkat saban tahun.
Secara keseluruhan, Teo berkata sebanyak 8,540 kandungan 3R telah diturunkan sejak 2022 hingga bulan lepas.
“Kita melihat aduan yang diterima meningkat setiap tahun. Pada 2022, sebanyak 175 kandungan diturunkan dan jumlah itu meningkat kepada 1,633 pada tahun berikutnya. Begitu juga pada 2024, jumlah itu bertambah kepada 4,830, namun menurun kepada 1,504 pada tahun lepas.
“Bagi tahun ini, 750 permohonan telah dihantar kepada pemilik platform dan setakat ini, 398 kandungan telah diturunkan setakat 30 April,” katanya memetik Bernama.
Mengulas lanjut, beliau berkata kebanyakan kes berkaitan kandungan 3R disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berdasarkan persefahaman antara agensi itu dengan SKMM.
“SKMM bertindak sebagai rakan teknikal dengan menyediakan sokongan kepakaran bagi membantu pihak polis mengenal pasti individu di sebalik akaun terlibat.
“Keputusan sama ada sesuatu kes itu diambil tindakan di mahkamah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 tertakluk kepada pertimbangan Jabatan Peguam Negara,” katanya.