Jangan ‘cah keting’ sesama sendiri, Mujahid yakin hubungan BN-PH kekal utuh
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan untuk ‘cah keting’ sesama sendiri susulan kemelut politik yang berlaku di Negeri Sembilan.
Beliau mengakui apa yang berlaku di negeri itu sedikit sebanyak menjejaskan tahap kepercayaan dan kesetiaan dalam hubungan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Mujahid yakin episod tersebut tidak harus dijadikan alasan untuk membuat kesimpulan bahawa kerjasama antara kedua-dua blok parti itu sudah berakhir.
“Dalam apa yang berlaku di Negeri Sembilan, kita jangan terlalu cepat membuat rumusan bahawa perpaduan ini (BN dan PH) berakhir.
“Saya rasa itu pendapat yang terlalu pramatang,” katanya dalam satu klip video yang dikongsikan di akaun TikTok beliau.

Bekas Menteri Agama itu menambah dalam mana-mana hubungan politik, khususnya yang dibina bagi memastikan kestabilan negara, ujian dan cabaran sememangnya tidak dapat dielakkan.
Katanya, ujian itu boleh hadir dalam bentuk sesuatu kejadian seperti yang berlaku di Negeri Sembilan atau tindakan individu tertentu yang tidak mencerminkan kehendak sebenar kepimpinan kedua-dua parti.
Sehubungan itu, Mujahid menegaskan bahawa langkah terbaik yang perlu diambil ialah meneruskan perbincangan dan dialog secara matang, dengan meletakkan keutamaan kepada isu-isu lebih besar yang sedang dihadapi negara.
Menurut bekas bekas Ahli Parlimen Parit Buntar berkenaan, perhatian sepatutnya tertumpu kepada cabaran global dan nasional, bukannya membiarkan isu politik tempatan menjejaskan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
“Silap bagi pihak PH mahupun BN jika mengambil kesempatan untuk cah keting antara satu sama lain,” tegas beliau lagi.
BACA JUGA Kelulusan tambahan 4,500 jawatan tetap, ini antara usaha kerajaan tangani penghijrahan doktor