Bertanding solo? Ini sebabnya BN Melaka berisiko gigit jari sekali lagi

Laluan untuk Barisan Nasional (BN) mengulangi kemenangan besar pada 2021 bukanlah sesuatu yang mudah jika bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata keyakinan sayap muda Umno untuk BN bertanding secara solo perlu disandarkan kepada realiti politik semasa dan bukan sekadar semangat akar umbi.

Beliau berkata, beberapa faktor penting perlu diteliti sebelum membuat kesimpulan bahawa BN mampu kembali menguasai Melaka jika memilih untuk bertanding tanpa kerjasama dengan parti lain.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, BN tewas dan kehilangan pentadbiran negeri selepas hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, situasi berubah dalam PRN Melaka 2021 apabila BN berjaya merampas semula negeri itu dengan kemenangan besar, iaitu 21 daripada 28 kerusi DUN.

Dr Yusri berkata, antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan tersebut ialah pengaruh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu berada di kemuncak populariti menerusi gelaran ‘Bossku’.

Menurutnya, aura Bossku bukan sahaja membantu kemenangan BN di Melaka, malah turut menjadi pemangkin kepada kejayaan parti itu dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan PRN lain selepas PRU14.

“Bermula di Cameron Highlands, aura Bossku tidak tersekat lagi terus melanda Semenyih, Rantau, Tanjong Piai, Sabah, Johor dan beberapa PRK lain lagi.

“Dalam tempoh tersebut, saya berada di lapangan dalam hampir semua pilihan raya itu,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau hari ini.

Kelmarin, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh dalam satu sidang media di Kuala Lumpur berkata, pihaknya yakin mampu mengekalkan pentadbiran di Melaka dan Johor selepas PRN akan datang, walaupun bertanding secara solo.

Akmal berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi kerajaan negeri diterajui BN, yang menurutnya berjaya menunjukkan kemampuan mentadbir dengan baik.

Tidak kekal lama

Mengulas lanjut, Dr Yusri berpendapat kekuatan BN di Melaka tidak kekal lama apabila tewas di semua kerusi Parlimen di negeri itu dalam PRU15 pada 2022.

Jelasnya, kekalahan itu berlaku ketika Gelombang Hijau yang dikaitkan dengan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) masih belum mencapai kemuncaknya.

“Maksudnya, walaupun sewaktu Gelombang Hijau belum mencapai kemuncak, BN sudah kalah semua kerusi parlimen di Melaka,” ujarnya.

Ahli akademik berkenaan turut menjelaskan bahawa daripada 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021, sebanyak 11 kerusi diperoleh dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.

Malah, beberapa kerusi hanya dimenangi dengan kelebihan kurang 500 undi, sekali gus menunjukkan kedudukan BN ketika itu sebenarnya amat rapuh.

Dari sudut undi popular pula, katanya, BN hanya meraih 38.4 peratus undi, berbanding Pakatan Harapan (PH) sebanyak 35.8 peratus dan Perikatan Nasional sebanyak 24.3 peratus.

Sehubungan itu, Dr Yusri berpendapat BN tidak boleh terlalu yakin untuk mengulangi kejayaan lampau jika memilih bertanding secara solo.

Katanya, berdasarkan data sedia ada, pertandingan tiga penjuru antara BN, PH dan PN dijangka berlangsung amat sengit, khususnya di kerusi-kerusi marginal.

“Persoalannya, adakah Umno/BN boleh menang PRN Melaka kali ini seperti diyakini oleh anak-anak muda mereka?

“Tersilap sedikit percaturan, Umno Melaka berisiko menggigit jari sekali lagi,” kata penganalisis berkenaan.

BACA JUGA Nak lawan krisis global bukan dengan slogan – PMX