‘Emas putih’ yang terbiar di belakang rumah
AZMI AHMAD
Di kampung-kampung Melayu, pokok betik biasanya hidup seperti warga kelas kedua. Pokok ini tumbuh di belakang rumah, di tepi pagar, kadang-kadang di celah longkang.
Tidak dijaga sepenuh hati seperti durian Musang King, tidak diraikan seperti sawit dan tidak pernah dianggap sebagai tanaman strategik negara.
Sedangkan dunia luar sedang melihat pokok ini dengan pandangan yang jauh berbeza. Kita melihat betik sebagai buah. Mereka melihatnya sebagai industri bioteknologi.
Kita memandang getah putih yang keluar daripada buah betik muda itu sebagai kotoran melekit yang menyebabkan tangan gatal. Namun begitu, syarikat farmaseutikal di Eropah dan Amerika melihat benda yang sama sebagai “enzim emas” bernama papain bahan bernilai tinggi yang menjadi rebutan industri makanan, kosmetik dan perubatan dunia.
Ironinya, “emas putih” itu selama ini menitis begitu sahaja ke tanah.
Ramai yang tidak sedar bahawa pasaran global papain kini dianggarkan bernilai sekitar USD174 juta dan dijangka meningkat melebihi USD 229 juta menjelang tahun 2032. Permintaan terhadap bahan ini datang daripada industri makanan, farmaseutikal dan kosmetik yang semakin berkembang.
Dalam dunia kapitalisme moden, apa-apa sahaja yang mampu menjimatkan masa, mempercepat proses atau meningkatkan kualiti produk akan menjadi mahal. Papain memenuhi semua syarat tersebut.
Industri makanan menggunakan enzim ini untuk melembutkan daging. Sebab itulah stik mahal di restoran mampu menjadi lembut seperti mentega walaupun berasal daripada potongan daging biasa. Dalam industri minuman pula, papain digunakan untuk menjernihkan bir dan jus.
Di makmal farmaseutikal, papain digunakan dalam ubat penyembuh luka dan suplemen penghadaman. Dalam industri kosmetik premium pula, bahan ini menjadi bahan aktif dalam produk penjagaan kulit, pengelupasan wajah dan pemutihan gigi.
Pendek kata, getah yang kita anggap remeh itu sebenarnya sedang digunakan dalam industri bernilai berbilion-bilion ringgit di seluruh dunia.
Persoalannya, mengapa negara seperti Malaysia masih ketinggalan?
Jawapannya mudah tetapi menyakitkan: kita masih gagal menguasai rantaian nilai.
Kita terlalu lama terperangkap dalam mentaliti negara pengeluar bahan mentah. Kita menanam, menuai dan menjual pada harga murah. Kemudian, negara lain memproses, menjenamakan dan menjual semula kepada kita pada harga berkali-kali ganda lebih mahal.
Kita menjual buah betik pada harga RM3 sekilogram, tetapi membeli semula hasil ekstraknya dalam bentuk ubat, kosmetik dan suplemen pada harga premium.
Inilah penyakit ekonomi lama yang masih menghantui negara-negara membangun.
Kita mempunyai tanah. Kita mempunyai cuaca tropika. Kita mempunyai tenaga kerja. Namun begitu, kita masih belum membina ekosistem pemprosesan bernilai tinggi secara agresif.
India sudah mendahului
India misalnya sudah menguasai hampir 45 peratus pasaran papain dunia. Mereka bukan sekadar menanam betik, tetapi turut membangunkan industri hiliran yang lengkap — daripada teknik penorehan getah dan pemprosesan enzim sehinggalah eksport bahan farmaseutikal.
Sedangkan di Malaysia, perbincangan tentang betik masih berkisar tentang penyakit papaya dieback dan turun naik harga buah.
Kita masih melihat pertanian dalam kerangka lama.
Sedangkan masa depan pertanian dunia bukan lagi sekadar menjual hasil mentah. Masa depan pertanian ialah bioteknologi, biofarmaseutikal dan bioekonomi.
Siapa yang menguasai enzim, bakteria industri dan ekstrak semula jadi akan menguasai industri masa depan.
Dalam konteks ini, getah betik bukan lagi sekadar getah. Ia ialah simbol bagaimana sesebuah negara boleh gagal melihat kekayaan di depan mata sendiri.
Bayangkan jika pekebun kecil di kampung diajar teknik menoreh buah betik muda secara sistematik tanpa merosakkan hasil buah. Mereka bukan sahaja boleh menjual buah yang matang, malah turut menjana pendapatan tambahan melalui getah papain.
Maknanya, satu pokok mampu menghasilkan dua sumber pendapatan.
Namun begitu, untuk sampai ke tahap itu, negara memerlukan keberanian dasar.
Kita memerlukan lebih banyak fasiliti pemprosesan crude papain di peringkat tempatan. Universiti dan institusi penyelidikan pertanian perlu keluar daripada budaya laporan seminar semata-mata dan mula membina model industri sebenar bersama pekebun kecil.
Agensi kerajaan pula perlu berhenti melihat pertanian sekadar statistik pengeluaran tahunan.
Apa yang lebih penting ialah nilai akhir sesuatu produk.
Dalam ekonomi moden, negara yang kaya bukan semestinya negara yang mempunyai sumber paling banyak. Negara yang kaya ialah negara yang tahu bagaimana memproses sumber biasa menjadi produk luar biasa.
Dan mungkin, antara “lombong emas” yang kita abaikan selama ini sebenarnya sedang tumbuh diam-diam di belakang rumah sendiri.
BACA JUGA Jangan guna nama mahasiswa untuk agenda sendiri : AMK tempelak MKM