Macron tak berani masuk hormuz? : Perancis elak hantar tentera tanpa ‘lampu hijau’ Iran

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan bahawa Paris tidak pernah mempertimbangkan untuk menghantar tentera secara unilateral ke Selat Hormuz tanpa rundingan dengan Iran, ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak.

Macron berkata, Perancis bagaimanapun bersedia membantu memulihkan semula laluan maritim di Selat Hormuz menerusi kerjasama dan koordinasi bersama Tehran.

“Penghantaran tentera Perancis tidak pernah dipertimbangkan,” katanya dalam sidang media bersama Presiden Kenya, William Ruto pada Ahad.

Memetik laporan agensi berita Anadolu Agency  beliau berkata, Perancis tetap bersedia membantu memastikan trafik maritim di laluan strategik itu dapat disambung semula.

Kenyataan Macron hadir ketika Iran memberi amaran keras terhadap kehadiran tentera laut Perancis dan Britain berhampiran Selat Hormuz.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi berkata, sebarang penempatan kapal perang Perancis atau Britain di kawasan tersebut akan menerima “tindak balas segera dan tegas” daripada angkatan tentera Iran.

Beliau turut menyifatkan penghantaran kapal induk Perancis, Charles de Gaulle ke Laut Merah dan Teluk Aden sebagai tindakan yang boleh memburukkan lagi krisis serta mempercepat proses “militerisasi laluan strategik dunia”.

Kementerian Angkatan Tentera Perancis sebelum ini mengesahkan kapal induk Charles de Gaulle bersama kapal pengiring telah melalui Terusan Suez pada 6 Mei menuju ke selatan Laut Merah.

Menurut kementerian itu, operasi tersebut bertujuan menilai situasi keselamatan serantau sebagai persediaan kepada kemungkinan misi maritim multinasional di kawasan Teluk.

Perancis turut mendakwa penempatan aset ketenteraan itu mampu membuka lebih banyak pilihan diplomatik dan keselamatan bagi membantu meredakan konflik di rantau berkenaan.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari lalu yang mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu-sekutu AS di Teluk.

Konflik itu turut membawa kepada penutupan Selat Hormuz  laluan strategik yang membawa hampir satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Ketika ini, usaha diplomatik sedang giat dijalankan bagi membuka semula laluan tersebut dan mengelakkan konflik lebih besar daripada tercetus semula.

BACA JUGA Lepas 20 tahun baru naik, MITRA kini masuk ‘fasa baharu’